Malaysia akhirnya mengambil langkah berani dan amat diperlukan dalam mempertahankan kedaulatan digital negara. Pengumuman Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengenai ketetapan had umur minimum 16 tahun adalah satu tindakan yang wajar dipuji. Langkah ini bukan sekadar peraturan birokrasi, tetapi satu benteng pertahanan kritikal untuk melindungi kesihatan mental dan fizikal anak-anak Malaysia daripada ancaman dunia siber yang semakin tidak terkawal.
Keperluan mendesak ini terbukti melalui insiden-insiden domestik yang membimbangkan. Menteri Komunikasi baru-baru ini mendedahkan kes mengejutkan di mana murid seawal usia 10 tahun sudah terdedah kepada kegiatan antuna seksual (grooming) oleh orang dewasa melalui aplikasi pemesejan. Ini adalah bukti nyata bahawa kanak-kanak kita sedang dieksploitasi di platform yang sepatutnya menjadi ruang sosial. Tanpa sekatan umur yang tegas, kita membiarkan pintu rumah kita terbuka luas kepada pemangsa seksual dan penjenayah siber untuk mengakses anak-anak kita secara terus.
Langkah ini turut disokong oleh pakar psikologi, komunikasi dan pakar kanak-kanak.
“Kebanyakan kes dalam kalangan pelajar sekolah seperti buli, rogol dan terbaharu kes bunuh, semua itu ada elemen pengaruh media sosial apabila sesiapa pun mudah akses untuk mendapatkan apa-apa sahaja diinginkan. Tambah buruk apabila tidak ada kawalan ibu bapa,” ujar Dr. Ima Liana Esa, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Jika dilihat dari sudut global, Malaysia tidak keseorangan dalam perjuangan ini, malah kita sedang bergerak seiring dengan negara-negara maju yang mengutamakan kebajikan kanak-kanak. Australia, misalnya, baru sahaja menguatkuasakan larangan media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tahun bermula Disember 2025 ini. Langkah “world-first” oleh Australia ini membuktikan bahawa hujah “kebebasan bersuara” tidak lagi boleh mengatasi hak asasi kanak-kanak untuk membesar dengan selamat tanpa gangguan algoritma yang memudaratkan.
Trend global ini turut disokong oleh langkah agresif di Amerika Syarikat dan Eropah. Di Florida, undang-undang telah diluluskan untuk melarang kanak-kanak di bawah 14 tahun daripada memiliki akaun media sosial, manakala Norway sedang dalam proses menaikkan had umur penggunaan kepada 15 tahun dengan sistem verifikasi yang ketat. Apabila negara-negara liberal Barat pun mula mengetatkan kawalan, tuduhan bahawa Malaysia bersikap “kuku besi” adalah tidak berasas. Sebaliknya, ia menunjukkan kerajaan peka terhadap konsensus saintifik global mengenai bahaya media sosial.
Aspek paling kritikal dalam langkah ini adalah perlindungan kesihatan mental. Algoritma media sosial direka khusus untuk mewujudkan ketagihan, memanipulasi dopamin kanak-kanak sehingga mereka hilang fokus dalam pelajaran dan kurang tidur. Dengan mengenakan had umur, kita sebenarnya “memulangkan semula zaman kanak-kanak” kepada generasi muda. Mereka sepatutnya meluangkan masa bermain di luar, berinteraksi secara fizikal, dan belajar tanpa tekanan “likes” atau standard kecantikan palsu yang sering dipaparkan di Instagram atau TikTok.
Pendekatan Malaysia melalui pelesenan platform di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) juga wajar dipuji kerana ia mengalihkan beban tanggungjawab. Sebelum ini, ibu bapa sering dipersalahkan jika anak terdedah kepada konten negatif, sedangkan gergasi teknologi yang mengaut keuntungan berbilion ringgit lepas tangan. Dengan cadangan denda sehingga RM100 juta kepada penyedia platform yang gagal mematuhi had umur, kerajaan menghantar mesej jelas: keuntungan korporat tidak boleh dibayar dengan keselamatan anak-anak kita.
Selain itu, pelaksanaan ini adalah satu bentuk kedaulatan undang-undang. Platform seperti Meta, TikTok, dan X telah lama beroperasi dengan peraturan mereka sendiri (self-regulation) yang terbukti gagal. Mewajibkan mereka mematuhi undang-undang Malaysia bermakna kita tidak lagi membiarkan syarikat asing menentukan budaya dan keselamatan sosial negara kita. Langkah mewajibkan verifikasi umur yang ketat akan membasmi akaun palsu dan menyukarkan jenayah siber, sekaligus menjadikan ekosistem internet negara lebih bersih.
Kesimpulannya, keputusan kerajaan untuk mengenakan had umur media sosial adalah satu kemenangan moral dan sosial bagi Malaysia. Kita tidak boleh menunggu sehingga lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa buli siber, pedofilia, atau kemurungan sebelum bertindak. Langkah ini mungkin tidak popular di kalangan remaja atau syarikat teknologi, tetapi ia adalah ubat pahit yang wajib ditelan demi masa depan negara yang lebih waras, selamat, dan sejahtera.