Tak semua kemerdekaan menjanjikan perubahan positif yang segera. Begitulah juga senario yang dihadapi oleh Bangladesh.
Selepas merdeka daripada Pakistan pada awal 1970-an, Bangladesh cuba mengorak langkah sebagai negara yang bebas berdaulat dengan impian besar untuk menjadi bangsa yang maju.
Namun, disangkakan cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.
Begitulah juga di Bangladesh apabila selepas dua tahun merdeka, negara itu dilanda krisis kebuluran yang amat melampau. Malah ada yang kata inilah krisis terburuk pada abad ke-20.
Krisis jadi inspirasi
Puncanya; cuaca buruk yang menyebabkan hasil pertanian merosot, inflasi yang tinggi dan paling utama, politik tak stabil. Akibatnya, lebih sejuta nyawa rakyat Bangladesh daripada kalangan orang miskin melayang.

Apa yang berlaku memberi kesan yang mendalam kepada seorang pakar ekonomi muda iaitu Dr Muhammad Yunus. Semasa krisis itu berlaku, beliau yang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang ekonomi di Amerika Syarikat adalah tenaga pengajar di Universiti Chittagong. Kini, beliau merupakan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh.
Pada ketika itu, beliau memulakan usaha untuk membasmi kemiskinan dengan terutama di kawasan pedalaman yang paling mudah terancam dengan masalah kebuluran.
Akhirnya pada 1983, beliau mengasaskan sebuah institut kewangan yang dikenali sebagai Bank Grameen yang bermaksud ‘Bank Kampung’.
Miskin bukan sebab malas
Apa yang ditawarkan adalah skim pinjaman mikro kepada orang kampung untuk mula berniaga dan meningkatkan pendapatan. Dan yang lebih menarik adalah pinjaman itu tidak perlukan sebarang cagaran.
Idea ini muncul apabila ada seorang wanita datang mengadu kepadanya yang dia terpaksa menjual barang dagangannya pada ceti haram dengan harga yang teramat rendah. Hutang wanita itu pula tidaklah terlalu besar tetapi kerana terlampau miskin, dia terikat lama dengan hutang ceti haram.
Dr Muhammad Yunus percaya orang miskin bukanlah malas. Malah wanita yang ditemuinya itu berusaha dengan membuat kerusi buluh untuk dijual.
Tetapi apa yang menghalang mereka adalah kerana terperangkap dalam beban hutang yang melampau.
Oleh itu, beliau mencipta konsep perbankan yang bercanggah dengan kebanyakan perbankan konvensional.
Hasilnya amat menakjubkan kerana Bank Grameen bukan sahaja telah meminjamkan lebih 10 bilion US dolar, malah kadar bayaran balik juga melebih 90 peratus.
Pandai pinjam, pandai bayar
Dan kumpulan sasaran peminjam Bank Grameen adalah golongan wanita. Kenapa? Menurut Dr Muhammad, kerana golongan ini sering diabaikan dalam masyarakat walaupun mereka ada potensi dan bakat yang sangat besar untuk meningkatkan mutu hidup dan anak-anak.
Hasil kejayaan ini, Dr Muhammad telah muncul sebagai pemenang anugerah hadiah Nobel Keamanan pada 2006 kerana mencipta pembangunan ekonomi dan sosial dari peringkat bawahan.
Cerita belum habis lagi. Ada satu lagi kisah yang menarik.
Dari Bangladesh ke Malaysia
Sebenarnya idea Bank Grameen ini turut diaplikasikan di Malaysia sejak 1987, apabila Anwar Ibrahim memperkenalkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Sama seperti Bank Grameen, AIM juga menawarkan sistem pinjam mikro kepada orang yang berkelayakan untuk memulakan perniagaan. Semasa menjadi menteri pendidikan, Anwar juga telah mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengkaji sistem Bank Grameen sebelum dilaksanakan di Malaysia.
Anwar yang kini merupakan Perdana Menteri juga telah menubuhkan Tabung Ikhtiar dan semasa menjadi menteri kewangan dahulu, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan sebagai dana awal untuk beroperasi.
Pemangku Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid sendiri yang mengakui hal ini dengan berkata, ketika tiada mana-mana institusi kewangan dan perbankan sanggup membantu, Anwar muncul sebagai antara individu terawal yang banyak membantu.
Perkongsian idea pinjaman mikrokredit inilah yang membina hubungan akrab antara Dr Muhammad dan Anwar Ibrahim sehingga hari ini.
Hal ini telah diakui sendiri oleh Dr Muhammad semasa Forum Ekonomi Dunia di Switzerland baru-baru apabila menyatakan penghargaan kepada Anwar. Malah mengakui Malaysia adalah negara pertama yang sudi ‘berlaga lutut’ untuk belajar tentang sistem mikrokredit ini.

Anwar Ibrahim pula bukanlah sekarang baru bercakap soal menoktahkan kemiskinan. Ramai sudah kenal dia sejak memperjuangkan nasib penduduk Baling satu ketika dahulu. Jadi, bila sudah ada kuasa, lebih mudah dia tingkatkan usaha untuk bantu orang miskin.
Sekarang, sistem ini dilaporkan telah berkembang dan bertapak di 64 buah negara di seluruh dunia dan telah berjaya menyelamatkan jutaan warga miskin keluar daripada belenggu kebuluran dan kepapaan.