December 16, 2025
Ethiopia: membuka gerbang Afrika, menjemput rezeki ke Asia Tenggara

Ethiopia: membuka gerbang Afrika, menjemput rezeki ke Asia Tenggara

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Addis Ababa, ibu kota Ethiopia, bukan sekadar kunjungan diplomatik biasa. Ia membuka lembaran baharu persahabatan dua negara yang sudah terjalin sejak 60 tahun lalu, dan lebih penting ia menghubungkan kembali jejak sejarah yang jauh lebih lama antara dunia Islam dan bumi Afrika Timur.

Sebagai tuan rumah Kesatuan Afrika (African Union), Ethiopia bukan sahaja memiliki kedudukan strategik dalam diplomasi benua itu, malah ia menjadi pintu masuk kepada pasaran Afrika Timur yang sedang berkembang pesat. Dengan populasi lebih 120 juta dan kedudukan ekonomi yang semakin meningkat, Ethiopia adalah gerbang penting kepada perdagangan bahan mentah, pertanian moden, tenaga dan teknologi sektor yang selari dengan kepakaran Malaysia. Pembukaan semula Kedutaan Malaysia di Addis Ababa selepas ditutup selama 42 tahun membuktikan komitmen baharu kita untuk membina hubungan jangka panjang dengan Afrika.

Namun hubungan Malaysia–Ethiopia tidak terhenti pada ekonomi. Ia dekat di hati kita kerana akar hubungan ini tertanam dalam sejarah awal Islam.

Di sinilah letaknya negeri Habsyah, wilayah bersejarah di Ethiopia hari ini, yang menjadi destinasi Hijrah Pertama umat Islam. Atas arahan Rasulullah SAW, para sahabat berhijrah ke Habsyah untuk mencari perlindungan daripada penyeksaan Quraisy di Mekah. Raja Najasy pemerintah yang adil menerima mereka sebagai tetamu dan melindungi mereka tanpa syarat.

Dalam rombongan hijrah penuh bersejarah itu turut hadir tokoh besar Islam seperti Uthman bin Affan, bakal khalifah, bersama isterinya Ruqayyah binti Muhammad, puteri Nabi SAW sendiri. Episod ini membuktikan bahawa bumi Ethiopia adalah antara negara pertama di dunia yang membuka pintu kepada Islam.

Hubungan spiritual ini semakin dirasakan apabila sebahagian sumber sejarah menyebut bahawa Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim AS dan ibu kepada Nabi Ismail AS tokoh penting yang menjadi lambang pengorbanan dalam ibadah haji dan umrah — berasal dari wilayah Afrika Timur yang berdekatan dengan Ethiopia.

Hari ini, Ethiopia bangkit sebagai kuasa diplomatik Afrika. Ethiopian Airlines merupakan syarikat penerbangan terbesar di benua itu, manakala Addis Ababa menjadi hab laluan perdagangan dan diplomasi antarabangsa. Lawatan Anwar ke sini mengangkat kembali hubungan silam yang pernah memelihara umat Islam, sambil membuka ruang kerjasama baharu yang lebih luas untuk ekonomi, pendidikan, keselamatan makanan, TVET, teknologi dan penerbangan.

Ethiopia mungkin jauh dari Malaysia, tetapi melalui sejarah, akidah, dan kepentingan strategik masa depan, ia sebenarnya sangat dekat di hati kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *