Perdebatan mengenai kebajikan doktor di Malaysia telah berlangsung sejak satu dekad lalu, namun hanya mula mendapat perhatian serius apabila gerakan Hartal Doktor muncul sebagai simbol ketidakpuasan hati doktor terhadap sistem yang tidak seimbang. Isu ini bukan soal gaji semata-mata, tetapi soal maruah profesional, masa depan kerjaya dan keupayaan negara mengekalkan tenaga pakar dalam sistem kesihatan awam. Dalam kerangka pentadbiran MADANI, perjuangan ini mula ditafsirkan bukan sahaja sebagai tuntutan pentadbiran, tetapi sebagai komponen penting dalam konsep ihsan.
Gerakan Hartal Doktor menuntut laluan kerjaya stabil, kenaikan elaun munasabah, beban tugas yang manusiawi serta pengiktirafan setimpal dengan tanggungjawab. Gerakan itu tidak bersifat konfrontasi, tetapi ia menzahirkan suara kolektif profesion perubatan bahawa sistem lama tidak lagi mampu menampung realiti kerja hospital moden.
Realitinya, masalah doktor di Malaysia jauh lebih besar berbanding isu kontrak. Hospital kerajaan mengurus majoriti pesakit negara tetapi kekurangan tenaga kerja menyebabkan doktor muda terpaksa bekerja sehingga 60–70 jam seminggu. Kadar elaun on-call yang tidak berubah sejak lebih 10 tahun menambah tekanan ekonomi dan psikologi menyemarakkan lagi fenomena ‘brain drain’.
Sebelum pentadbiran MADANI mengambil alih, kerajaan-kerajaan terdahulu cuba meredakan keadaan melalui penawaran jawatan tetap secara terhad, pembukaan laluan kepakaran secara berperingkat serta janji untuk menyemak semula elaun. Namun langkah itu tidak tuntas kerana kekangan fiskal, saiz perkhidmatan awam yang besar dan proses birokrasi yang panjang melibatkan JPA serta Kementerian Kewangan.
Kerajaan MADANI Salah memulakan langkah paling ketara melalui kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) yang disemak semula selepas kira-kira 14 tahun tanpa perubahan. Kadar kenaikan antara 33% hingga 43%, termasuk peningkatan elaun doktor pakar pada hari cuti daripada RM250 kepada RM350, menandakan wujudnya kesungguhan politik untuk merawat masalah yang berpunca daripada pengabaian jangka panjang. Peruntukan khas turut disediakan agar kenaikan itu bukan sekadar pengumuman, tetapi polisi yang boleh dilaksanakan secara berterusan.
Dr RA Lingeshwaran, ahli Dewan Negara menyifatkan langkah ini membetulkan ketidakseimbangan yang telah lama berlaku sejak 2011, serta menandakan kesediaan kerajaan untuk memperkukuh sistem kesihatan awam dengan pendekatan yang lebih adil dan mampan.
Selain itu, kerajaan juga memulakan proses penyerapan tetap secara besar-besaran doktor kontrak, yang mampu memberi kejelasan kerjaya, mengurangkan penghijrahan doktor dan menyelesaikan sebahagian tuntutan Hartal Doktor mengenai kestabilan pekerjaan. Ia juga mencerminkan pemahaman bahawa sistem kesihatan memerlukan pelaburan manusia, bukan hanya peralatan dan infrastruktur.
Akhirnya, perjuangan Hartal Doktor menjadi cermin bahawa negara tidak boleh menangguhkan lagi reformasi kesihatan awam. Respons kerajaan MADANI melalui pendekatan ihsan menandakan perubahan kepada model yang lebih adil, manusiawi dan mampan. Sebahagian masalah masih perlu diperbaiki, tetapi langkah-langkah semasa menunjukkan bahawa suara doktor bukan lagi bergema dalam kekosongan; ia kini diterjemah ke dalam dasar yang lebih berperikemanusiaan dan berpaksikan ihsan.