January 29, 2026
Perjanjian Perdagangan Malaysia – Amerika Syarikat penilaian realiti meminggir emosi

Perjanjian Perdagangan Malaysia – Amerika Syarikat penilaian realiti meminggir emosi

Langkah Malaysia menandatangani Agreement on Reciprocal Trade (ART) dengan Amerika Syarikat, bertujuan untuk menstabilkan hubungan perdagangan dan mengatasi ketidaktentuan akibat perang tarif. Dokumen rasmi perjanjian yang diterbitkan Rumah Putih menggariskan matlamat bersama: kedaulatan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Kenapa saat ini penting? Pada separuh pertama 2025, Malaysia berdepan ancaman tarif tinggi unilateral AS, dengan liputan media antarabangsa menyebut angka potensi sehingga 24–25% sekiranya tiada penyelesaian dwi hala. ART menukar senario “ancaman mingguan” kepada kepastian berstruktur melalui teks perjanjian yang mengikat dan boleh diramal.

Perincian dasar yang menjadi tumpuan industri ialah kejelasan kadar timbal balas. Kenyataan bersama dan helaian fakta pihak AS menyatakan komitmen mengekalkan kadar timbal balas 19% untuk barangan asal Malaysia, dengan sebahagian produk dikenal pasti menerima kadar 0% mengikut senarai yang dirujuk dalam perintah eksekutif berkaitan. Kepastian ini memudahkan firma-firma yang menjalankan perniagaan antarabangsa untuk membuat unjuran kos dan harga.

Dari sudut kepentingan ekonomi domestik,  perjanjian ini mampu melindungi akses pasaran ke destinasi eksport utama Malaysia, sekali gus menjamin kelangsungan pekerjaan serta peluang PKS sepanjang rantaian bekalan—khususnya dalam E&E, getah, perkilangan dan komoditi bernilai tambah.

Bagi pelabur dan korporat, perjanjian ini mengurangkan risiko serta menambah baik ‘line-of-sight’ bagi mengujurkan potensi masa depan pelaburan automasi dan pengembangan kapasiti. Ulasan pasaran dan kenyataan agensi promosi perdagangan (MATRADE) melihat perjanjian ini sebagai pemangkin memperkukuh daya saing, pematuhan ESG dan kredibiliti global eksport Malaysia.

Kebimbangan mengenai kedaulatan wajar dijawab dengan fakta undang-undang. Laporan serantau memetik Pejabat Peguam Negara bahawa Malaysia mengekalkan hak menamatkan perjanjian secara unilateral pada bila-bila masa, menunjukkan perjanjian ini tidak menjejaskan kedaulatan perlembagaan negara. Ini turut diterangkan dalam komunikasi kerajaan yang memuat naik teks perjanjian dan dokumen penjelasan.

Isu penjajaran dengan sekatan atau kawal selia pihak ketiga juga diperincikan yang mana perjanjian ini dilunaskan tanpa menjejaskan pendirian berkecuali dan kedaulatan Malaysia serta memberi garis panduan kepada industri mengenai pematuhan yang praktikal dan tersasar daripada tafsiran berlebih-lebih.

Pada masa sama, perjanjian ini mampu menjadi penghadang (guardrail) yang memaksa sebarang tindakan masa depan melalui proses perundingan dan bukannya ugutan unilateral yang selari dengan strategi meramaikan  rakan dagang supaya Malaysia tidak bergantung pada satu atau dua pasaran sahaja. Ini mampu mengekalkan ruang yang luas untuk diplomasi ekonomi negara.

Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menyifatkan kejayaan Malaysia mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat memberi keuntungan besar buat rakyat Malaysia.

“Pengecualian (sifar tarif) meliputi sektor-sektor utama seperti minyak sawit, produk getah, koko, komponen pesawat, dan barangan berkaitan farmaseutikal, dengan nilai keseluruhan kira-kira AS$5.2 bilion (RM21.9 bilion) atau sekitar 12% daripada eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Sekiranya Malaysia tidak menandatangani perjanjian ini, eksport kita akan kembali terdedah kepada tarif unilateral yang tinggi, menekan margin pengeluar, mengalihkan pesanan ke negara pesaing serantau dan akhirnya menjejaskan pekerjaan. Amaran tentang risiko tersebut direkodkan dalam laporan rundingan sepanjang tahun yang menyebut ambang 24–25% jika tiada persetujuan baharu.

Dari kaca mata perniagaan, kepastian tarif dan jadual pelaksanaan di bawah perjanjian ini  membolehkan syarikat merancang kontrak, mengunci harga input, dan menyusun semula rantaian bekalan tanpa kejutan dasar setiap beberapa minggu. Ulasan analitis sektor menekankan bahawa walaupun perjanjian ini tidak seperti perjanjian pedagangan bebas (FTA) konvensional, ia berfungsi seperti insurans terhadap ketidaktentuan yang lebih mahal.

Perjanjian ini adalah keputusan berkepentingan nasional: ia menukar ketidaktentuan menjadi kepastian yang boleh diurus, mengekalkan akses pasaran dan pekerjaan, sambil memelihara kedaulatan melalui hak penamatan dan kawal selia domestik. Rakyat wajar bertenang, merujuk dokumen rasmi, dan menilai manfaatnya secara objektif sementara kerajaan menyempurnakan pelaksanaan untuk memastikan setiap langkah membawa pulangan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *