April 21, 2025
Nilai Kuasa Beli: Pemerhati Ekonomi Kaki Lima

Nilai Kuasa Beli: Pemerhati Ekonomi Kaki Lima

Tidak janggal disusur masa melihat gambar rakan yang pergi menunaikan umrah malah yang bergambar dengan ‘penuh tawaduk’ sambil menghirup kopi dengan latar kota Tokyo. Baik di Facebook mahupun Instagram, saban hari ramai saja yang pergi ke sana-sini. Pernah tular satu masa lalu, rakyat Malaysia membanjiri bandar Hat Yai sehingga menyumbang kepada hampir RM129 juta kepada ekonomi tempatan.

Dari sisi lain, masih banyak rungutan yang ekonomi makin teruk. Mana satu yang betul?

Salah satu cara melihat kesihatan negara ialah melihat kepada kuasa beli rakyat. Melancong ke luar negara, apatah lagi negara yang ‘mahal’ seperti Arab Saudi, Jepun dan Korea bukanlah keperluan asas yang mendesak, malah dahulunya dilihat sebagai aktiviti golongan atas. Namun ini bukanlah penanda aras yang paling sahih, kerana mungkin melibatkan perubahan perangai generasi ini berbelanja.

Namun statistik lain seperti penjualan kenderaan di negara ini mencapai angka bersejarah pada 2024 dengan lebih daripada 816,747 unit terjual, mencatat rekod baharu dalam industri. Kejayaan ini menggambarkan kestabilan kewangan di kalangan rakyat, kerana pemilikan kereta sering kali dilihat sebagai salah satu tanda kemampuan kewangan yang baik.

Malah peningkatan ini tidak hanya melibatkan kenderaan tempatan seperti Proton dan Perodua, tetapi juga kereta import, yang menunjukkan kemampuan rakyat untuk mencapai kualiti dan gaya hidup lebih selesa.

Dalam perkembangan lain, nilai perdagangan Malaysia juga telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah dengan nilaian RM 2.88 trilion ringgit malah mempertahankan rekod tiga tahun berturut-turut melepasi angka RM1 trilion.

Pertumbuhan perdagangan ini mencerminkan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan, kenaikan gaji, dan yang kemudiannya diterjemah kepada kuasa beli yang tinggi. Ini kitab oleh lihat sendiri dengan kemampuan orang ramai untuk membeli makanan viral yang kadangkala pada harga yang tak masuk akal, seperti pizza RM150 atau satay tiga cucuk RM40. Ini pun orang beratur untuk beli.

Tidak dinafikan, masih terdapat cabaran dan sektor yang memerlukan perhatian khusus, malah mungkin mengecut, namun secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berada dalam momentum yang positif. Perubahan teknologi yang pantas memerlukan peniaga untuk sentiasa bersedia bertukar dan berinovasi. Misalnya kini, jika perniagaan jual kad tambah nilai atau kafe siber sudah tidak laku, ia bukan bermakna ekonomi sudah tenat, sebaliknya permintaan rakyat telah berubah sesuai dengan zaman. Orang masih berbelanja, tapi lain caranya.

Tapi di pinggir kaki lima, nampaknya kuasa beli rakyat ada peningkatan malah ia juga mencerminkan keyakinan rakyat untuk terus berbelanja kerana mempunyai pendapatan yang stabil dan bertambah. Semoga Malaysia terus aman dan semua orang terus dapat cari makan. Kadangkala nikmat-nikmat ‘sedikit’ ini, kita tidak sedar sehingga jatuh terlentang barulah menyesal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *