October 29, 2025
Dua MoU Malaysia, Timor-Leste perkukuh hubungan dalam bidang telekomunikasi, media

Dua MoU Malaysia, Timor-Leste perkukuh hubungan dalam bidang telekomunikasi, media

Hubungan akrab Malaysia dan Timor-Leste sejak 2002 terus diperkukuh melalui majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan bidang telekomunikasi dan media.

Antara MoU yang ditandatangani adalah MoU Kerjasama Telekomunikasi serta Maklumat dan Pembangunan Media yang melibatkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dari pihak Timor-Leste, pimpinan yang terlibat menandatangani adalah Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste, Miguel Marques Gonçalves Manetelu; dan Setiausaha Negara untuk Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua negara menegaskan komitmen untuk menguatkan kerjasama dua hala (bilateral) dan menggalakkan hubungan akrab antara rakyat.

“Malaysia dan Timor-Leste juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah rantau Asia Tenggara yang lebih terhubung, berdaya tahan dan berpandangan jauh ke hadapan,” menurut kenyataan.

Untuk Kerjasama Telekomunikasi, MoU tersebut bakal menyaksikan kerjasama dua negara untuk mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi, menguatkan keterhubungan digital dan menggalakkan pertukaran pengetahuan teknikal untuk manfaat bersama.

Sementara itu, MoU kedua pula mensasarkan untuk meningkatkan penyertaan profesional melalui pertukaran makluman, perkongsian berita dan inisiatif mengukuhkan keupayaan (capacity-building) untuk pihak media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *