Langkah kerajaan meluaskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu dilihat bertujuan untuk mengelakkan tekanan harga mendadak kepada rakyat.
Pempengaruh isu-isu ekonomi, Nazri Hamdan berpendapat, dalam situasi ekonomi yang belum stabil sepenuhnya ketika ini, SST boleh memberikan keseimbangan antara menaikkan hasil negara secara progresif dan mengurangkan beban harga kepada rakyat.
“Langkah mengekalkan dan meluaskan SST adalah strategi ‘fiscal cushioning‘ yang wajar untuk elak kejutan ekonomi dan pada masa sama tunjuk kerajaan peka terhadap kos sara hidup,” ujarnya.
Beliau berkongsi pandangan itu melalui laman sosial Facebook ketika mengulas perbandingan kesesuaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan SST dengan situasi ekonomi ketika ini.
Tanpa menafikan kecekapan GST untuk meningkatkan hasil pendapatan negara lebih tinggi, tetapi impaknya banyak menimpa golongan B40.
“Kajian Bank Dunia pada 2018 menunjukkan bahawa GST memberi kesan 6.3% kepada pendapatan boleh guna golongan B40, berbanding hanya 3.5% kepada T20,” katanya.
Sebaliknya, SST lebih tertumpu kepada sektor perkhidmatan dan tidak mencukai semula ke atas setiap transaksi rantaian, beri ruang harga kekal lebih stabil terutama pada barang asas.
Terdahulu, kerajaan meluaskan skop SST dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara dari segi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dan defisit fiskal.
Di sebalik kebimbangan umum, kerajaan juga memberi jaminan bahawa rakyat terbanyak tidak terkesan daripada langkah kerajaan ini dengan memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Penambahbaikan SST juga dijangka bakal menjana hasil sebanyak RM51.7 bilion bagi tahun 2025 dengan tambahan RM5 bilion daripada unjuran semasa.
Hasil tambahan daripada SST ini, katanya, akan membolehkan bantuan tunai kepada rakyat ditambah, memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.