July 27, 2025
Hannah Yeoh wujudkan ekosistem bidang sukan ‘Mesra Keluarga’, yakinkan penglibatan aktif wanita

Hannah Yeoh wujudkan ekosistem bidang sukan ‘Mesra Keluarga’, yakinkan penglibatan aktif wanita

Cabaran wanita untuk menempa sejarah dalam pelbagai bidang termasuk arena sukan ternyata tidak mudah. Walaupun kini kita dikatakan berada pada zaman moden, tetapi persepsi atau stigma terhadap golongan wanita masih terus wujud.

Cabaran inilah juga yang dihadapi oleh menteri belia dan sukan, Hannah Yeoh. Beliau bukan sahaja terpaksa membuktikan kepimpinannya dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh diterima ramai, bahkan secara khusus pula perlu memastikan atlet wanita berada dalam situasi terbaik untuk berjuang demi negara.

Secara umumnya, jumlah atlet wanita masih rendah berbanding lelaki. Hal ini berdasarkan penyertaan kontinjen mereka dalam beberapa kejohanan sukan seperti Sukan Asia 2022 di Hangzhou iaitu 100 wanita berbanding lelaki seramai 189. Di Sukan SEA 2023 di Kemboja pula, wanita (274) manakala lelaki (403). Di Sukan Olimpik Paris 2024 menunjukkan keseimbangan apabila kontinjen lelaki dan wanita masing-masing sebanyak 13 orang.

Lebih tragis adalah semasa Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, terdapat beberapa acara melibatkan atlet wanita terpaksa dibatalkan akibat kekurangan penyertaan seperti futsal, terjun 10 meter platform, sepak takraw,

Situasi yang tidak berpihak kepada atlet wanita ini wujud atas pelbagai faktor termasuklah kekangan budaya, kekurangan fasiliti, tiada sokongan jangka masa panjang dan sebagainya.

Menyedari hal ini, Hannah Yeoh pernah menegaskan keperluan agar tumpuan yang seimbang diberikan kepada pembangunan atlet wanita agar mereka boleh bersama-sama menyumbang tenaga dan bakat untuk mengangkat nama negara.

Tetapi itu bukan harapan kosong daripada menteri yang juga seorang wanita dan ibu. Sebaliknya beliau telah menangani dengan mengambil beberapa tindakan seawal mengambil kepimpinan di KBS. Inisiatif tersebut merangkumi aspek kesihatan, keibubapaan, peluang kerjaya. Langkah ini penting dengan matlamat untuk mewujudkan ekosistem sukan yang lebih inklusif dan mesra wanita.

  1. Klinik Kesihatan Wanita untuk Atlet

Melalui satu sesi townhall bersama atlet wanita, akhirnya pada Oktober 2023, sebuah Klinik Kesihatan Wanita yang pertama secara untuk atlet wanita telah ditubuhkan oleh Institut Sukan Negara (ISN). Klinik ini akan memastikan wujud akses kesihatan atlet wanita dengan pakar kesihatan wanita. Atlet wanita boleh mendapatkan konsultansi kesihatan, pemeriksaan berkala dan rujukan kepada pakar luar.

  1. Taska Team MAS: Sokongan Keibubapaan untuk Atlet

Menjadi atlet dan ibu pada masa yang sama bukanlah tanggungjawab yang mudah untuk dipikul. Untuk menyokong atlet wanita agar lebih fokus dan tenang, KBS telah mewujudkan Taska Team MAS di KL Sports City. Pusat jagaan ini bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada atlet wanita bahkan turut merangkumi jurulatih dan kakitangan sukan yang mempunyai anak. Kemudahan ini penting dan amat besar kesannya untuk memastikan bidang sukan mempunyai elemen ‘mesra keluarga’.

  1. Pindaan Kontrak Atlet: Mesra Kehamilan dan Keluarga

KBS bukan sahaja ingin menjadi kementerian yang mesra keluarga bahkan juga mesra kehamilam. Antara langkah yang telah diambil adalah meminda klausa dalam kontrak atlet wanita dengan membenarkan mereka yang hamil untuk terus menyertai program latihan tetapi berdasarkan keupayaan masing-masing.

Selain daripada itu, kontrak baharu yang dipinda turut memastikan cuti tahunan, cuti kecemasan dan cuti paterniti bagi atlet lelaki.

  1. Memperkasa Kepimpinan Wanita dalam Sukan

Golongan wanita bukan sahaja perlu ditingkatkan penyertaan dalam bidang sukan sebagai atlet, kepimpinan mereka turut ditagih dalam bidang kejurulatihan sukan.

Berdasarkan statistik, jurulatih bertauliah wanita di ASEAN masih rendah iaitu kurang 20%. Untuk memperbaiki hal ini, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan pembangunan sukan wanita ditingkatkan untuk akses yang selamat dan mencukupi.

  1. Menyokong Atlet Wanita Selepas Persaraan

Kerap kita membaca kisah-kisah bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara berubah nasib menyedihkan selepas bersara.

Ekosistem sukan di Malaysia memang masih kurang membantu para atlet ini termasuklah wanita untuk menyumbangkan tenaga selepas bersara walhal pengalaman mereka amat ditagih untuk melatih pelapis atlet negara.

Situasi telah mendapat perhatian Hannah Yeoh yang merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) agar banyak program diwujudkan untuk melengkapkan atlet dengan kemahiran hidup yang relevan dengan keperluan semasa.

  1. Harapan Pingat Olimpik untuk Atlet Wanita

Atlet sukan negara ketika ini sedang membuat persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Bagi memastikan beberapa acara dapat ditandingi oleh atlet wanita sekaligus membawa pulang pingat kepada negara, Hannah Yeoh telah mengenal pasti potensi pasukan skuasy wanita yang terdiri daripada S. Sivasangari, Aifa Azman, Aira Azman dan Rachel Arnold.

S. Sivasangari merupakan salah seorang pemain ranking 10 terbaik dunia.

Untuk jangka masa panjang, inisiatif yang diambil oleh KBS di bawah kepimpinan Hannah Yeoh ini bukan sahaja penting kepada pembangunan sukan negara tetapi ia juga boleh membantu mengubah persepsi umum terhadap kemampuan atlet wanita.

Inisiatif dengan mewujudkan ekosistem sukan yang inklusif dan terangkum seperti telah dan akan dilakukan Hannah Yeoh diyakini akan memberi harapan kepada golongan wanita untuk berani menceburkan diri dengan lebih aktif dalam bidang sukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *