Nasib atlet negara yang berjuang untuk menaikkan nama Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa sentiasa diberikan perhatian.
Salah satu inisiatif yang disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Skim yang disediakan ini sejak tahun 1986 bertujuan untuk menghargai pencapaian atlet Malaysia dan menjaga kebajikan mereka. Sudah tentu, setiap menteri belia dan sukan akan memastikan skim ini berfungsi untuk membantu atlet.
Tetapi sejauh manakah penambahbaikan yang telah diambil oleh Hannah Yeoh terhadap SHAKAM?
Sebelum itu, mari kita fahami dulu kumpulan sasaran yang terlibat di bawah SHAKAM.
Berdasarkan laman sesawang KBS, SHAKAM akan memberikan insentif secara khusus kepada atlet yang meraih pingat dalam temasya sukan utama seperti Olimpik, Paralimpik, Sukan Asia, Sukan Para Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.
Skim ini juga turut merangkumi atlet yang memperoleh kemenangan secara individu di semua peringkat sukan di luar negara.
Di bawah kepimpinan Hannah Yeoh, SHAKAM telah diberi nilai tambah apabila insentif telah dinaikkan sehingga tiga kali ganda bermula 2024. Saranan ini pada asalnya telah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disokong oleh Hannah Yeoh.
Oleh kerana atlet yang berjuang di luar negara akan membawa maruah negara, terdapat pandangan bahawa perjuangan mereka tidak sekadar menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata.
Sehubungan dengan itu, Hannah Yeoh mencadangkan supaya syarikat swasta turut terlibat dengan pemberian insentif kepada atlit. Tetapi cadangan ini juga perlukan insentif yang menarik kepada pihak swasta seperti cadangan supaya pelepasan cukai tertentu diperkenalkan.
Langkah begini penting untuk memastikan dana untuk SHAKAM dapat ditingkatkan untuk jangka masa yang panjang.
Untuk rekod, pada 2023, di bawah SHAKAM, hampir RM2.4 juta telah disalurkan kepada atlet yang berjaya dalam Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Para ASEAN Kemboja 2023. Antara penerima insentif tertinggi adalah atlet olahraga dan pencak silat.
Pada tahun yang sama, insentif khas bernilai RM95,500 juga telah diberikan kepada atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Khas Dunia 2023, di Berlin, Jerman.
Bermula Januari 2024 juga, atlet di bawah Program Podium turut dilindungi kebajikan mereka melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan SOsial (PERKESO).
Langkah ini, kata Hannah Yeoh adalah satu perubahan besar yang dilaksanakan KBS selepas mendapat kelulusan Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).
Secara umum, atlet di bawah program podium adalah atlet bertaraf elit negara yang terpilih untuk menyertai program latihan berprestasi tinggi. Program yang diperkenal secara rasmi pada tahun 2015 ini pula dikelolakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Antara sukan yang terangkum dalam program ini adalah badminton, terjun, basikal, olahraga, angkat berat dan para atlet paralimpik elit.
Tetapi langkah ini mendapat perhatian seorang penembak veteren, Nur Suryani Mohamed Taibi yang berharap agar atlet bukan di bawah Program Podium turut diberikan insentif yang sama memandangkan mereka turut sama berjuang untuk negara.
Pandangan ini segera mendapat respon Hannah Yeoh yang mengumumkan faedah yang sama akan diperluas kepada atlet bukan di bawah Program Podium. Impak pelaksanaan ini akan memastikan para atlet negara bukan sahaja mendapat perlindungan sosial yang lebih baik, malah mereka akan memiliki simpanan selepas bersama, dilindungi jika berlaku musibah
Bukan itu sahaja, Hannah Yeoh juga telah mengumumkan bahawa bayaran elaun bulanan atlet di bawah Program Podium ditukar kepada gaji serta dinaikkan dengan minimum sebanyak RM1500 sebulan.
Langkah-langkah yang diambil ini akan membawa implikasi kewangan sebanyak RM16 juta kepada MSN. Hannah Yeoh berpandangan langkah-langkah yang melindungi kebajikan para atlet negara sebagai ‘game changer’ yang akan membantu mereka lebih fokus untuk mengharumkan nama negara di lapangan sukan.