July 27, 2025
Rakan Muda: Tenang di Permukaan, Bergerak di Dasar

Rakan Muda: Tenang di Permukaan, Bergerak di Dasar

Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu pada tahun 2023 dilihat kurang menonjol berbanding era pelancarannya dahulu. Tiada lagi program berskala besar di stadium atau perhimpunan mega yang menggegarkan negara.

Namun di sebalik perubahan ini, pendekatannya telah berubah—daripada bersifat pusat dan simbolik, kini ia lebih bersifat komuniti dan menyusup masuk ke akar masyarakat.

Di bawah strategi baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Rakan Muda kini memberi keutamaan kepada inisiatif yang digerakkan sendiri oleh komuniti.

Pertubuhan belia tempatan dijemput untuk memohon Dana Bantuan Pembangunan Belia dan Rakan Muda bagi merancang program yang sesuai dengan keperluan setempat.

Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan program lebih dekat dengan masyarakat dan menyesuaikan dengan kehendak tempatan, malah mengurangkan kebergantungan kepada acara-acara besar yang sering tertumpu di bandar.

Melalui suntikan dana RM25 juta daripada Belanjawan MADANI 2025 dan tambahan RM2.5 juta dana khas untuk geran komuniti, pelbagai projek impak telah berjaya dilaksanakan.

Antara yang menonjol ialah “Bumi Tuba” (projek kitar semula minyak masak) dan “Suara Bayu” (projek seni dan warisan), yang dibiayai melalui Akademi Rakan Muda sebanyak RM300,000. Ini membuktikan bahawa idea kecil belia mampu menjadi solusi sebenar dalam masyarakat jika diberi sokongan dan ruang.

Fiesta Rakan Muda di Labuan yang berlangsung pada Julai 2025 pula mencatat penyertaan ratusan belia, membabitkan aktiviti seni, inovasi dan e-sukan dalam masa yang sama gerakan local lain seperti penganjuran sukan, pertandingan kawad kaki dan kursus terus berjalan.

Sementara itu, program “Rakan Muda Turun Kampus” berjaya menjelajah ke 10 IPT dan menghimpunkan lebih 5,000 pelajar, membuka ruang dialog dua hala antara belia dan kerajaan.

Dalam masa yang sama, jumlah sekretariat Rakan Muda di IPT meningkat kepada 119, mencerminkan perluasan capaian dan kepercayaan institusi terhadap program ini.

Geran kecil yang disalurkan juga membolehkan kelab dan NGO belia menganjurkan bengkel, forum, latihan kemahiran, serta program kesukarelawanan. Ini memberi peluang yang lebih luas kepada belia luar bandar dan kumpulan akar umbi untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan komuniti masing-masing—tanpa bergantung pada program pusat atau pendekatan bersifat satu hala.

Namun Rakan Muda tidak berhenti sekadar menjadi jaguh kampung malah turut mengambil peluang sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 untuk mengangkat Rakan Muda ke peringkat antarabangsa.

Melalui program ASEAN Youth Volunteer (AYV) 2025, melibatkan belia dari pelbagai negara bergabung dalam aktiviti kesukarelawanan rentas sempadan. Ini membuktikan bahawa walaupun tidak gah di permukaan, Rakan Muda terus menjadi nadi pembangunan generasi serantau.

Rakan Muda ditubuhkan pada tahun 1994 di bawah Kementerian Belia dan Sukan sebagai platform pembangunan holistik untuk belia Malaysia berumur 13 hingga 30 tahun.

Fokus utamanya ialah membentuk generasi muda yang berdaya tahan, berilmu dan berwibawa melalui penglibatan dalam aktiviti gaya hidup sihat, kesukarelawanan, seni, sukan, inovasi serta kepimpinan komuniti, dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan selaras dengan nilai kemasyarakatan.

Hakikatnya, perubahan ini merupakan satu penyesuaian kepada realiti baharu. Rakan Muda bukan lagi hanya pentas persembahan; ia kini adalah ruang pembangunan.

Dengan pendekatan berasaskan komuniti, dana tersasar dengan tepat, dan penglibatan yang menyeluruh—program ini bergerak lebih senyap, tetapi jauh lebih dalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *