Bila kita dapat tawaran kerja di ibu kota, perkara utama yang selalu menjadi kegusaran adalah berkaitan tempat tinggal.
Tambahan pula jika kita tiada kenalan atau saudara-mara di ibu kota, maka lebih sukarlah untuk mencari tempat tinggal.
Mungkin sebab itu, ramai orang terutama golongan belia apabila berhijrah ke ibu kota, mereka terpaksa menjadi gelandangan sementara. Mereka akan tidur di mana sahaja yang boleh. Bawah jambatan, masjid, surau, kaki lima dan sebagainya. Bukan sahaja tidak selesa, malah keselamatan nyawa dan aset terpaksa menjadi taruhan.
Bayangkan ini semua berlaku ketika banyak rumah kosong yang tidak terjual ada di sekeliling. Malah ada fasiliti kerajaan yang terbiar tidak dimanfaatkan. Walhal kalau diubahsuai serba sedikit, kemudahan ini boleh memberi manfaat semula kepada orang ramai.
Menyedari situasi yang melanda golongan belia yang baru berhijrah ke ibu kota, maka tercetuslah idea daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melancarkan secara rasmi inisiatif yang dikenali sebagai Youth Capsule (Y-Capsule).
Y-Capsule dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 13 September 2023 dengan hasrat untuk menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada golongan belia yang berhijrah ke ibu kota.
Secara umumnya, Y-Capsule adalah program yang menawarkan penginapan sementara yang terletak di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Cheras. Kadar bayaran yang dikenakan juga amatlah berpatutan iaitu RM10 sehari dan terbuka hanya untuk warganegara Malaysia dan berumur 18 hingga 40 tahun sahaja.
Apa lagi syarat yang dikenakan? Golongan yang sedang mencari pekerjaan, dalam tempoh menjalani latihan industri dan juga mereka yang sudah bekerja tetapi tiada tempat tinggal.
Y-Capsule pula bukanlah sekadar menawarkan tempat untuk tidur sahaja tetapi juga ada kemudahan asas seperti bilik mandi, pantri, ruang memasak, dobi, ruang rehat dan sebagainya.
Tetapi disebabkan program ini masih dalam peringkat permulaan, maka ketika ini hanya lima bilik dormitori dengan kapasiti 54 katil sahaja yang disediakan. Jadi, konsep “siapa cepat, dia dapat” adalah terpakai di Y-Capsule.
Seperti yang dijelaskan tadi, inisiatif KBS ini adalah sebahagian usaha di bawah kepimpinan Hannah Yeoh untuk mengeratkan golongan belia dengan kemudahan kerajaan di bawah agenda “Merakyatkan Fasiliti KBS”.
Kalau sebelum ini, isu peluang pekerjaan hanya menjadi fokus kementerian tertentu sahaja tetapi dengan inisiatif Y-Capsule ini, Hannah Yeoh cuba menambah nilai ekosistem yang lebih menyeluruh untuk membantu golongan belia ke ibu kota dengan selesa dan terjamin.
Semoga inisiatif ini turut disertai kementerian yang lain untuk membantu golongan belia membina kehidupan yang lebih baik di ibu kota.