July 27, 2025
Walau difitnah, Hannah fokus bantu Kelantan anjur SUKMA 2028

Walau difitnah, Hannah fokus bantu Kelantan anjur SUKMA 2028

Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang belum pernah menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) sejak diperkenalkan pada tahun 1986.

Kalau ramai menganggap faktornya adalah kerana perbezaan ideologi politik dengan Kerajaan Persekutuan memang salah kerana bukan itu puncanya.

Sebaliknya, seperti diakui sendiri oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob, faktornya adalah kerana infrastruktur sukan yang tidak lengkap.

Pada 2024 lagi Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi tuan rumah SUKMA. Tetapi ditangguhkan atas faktor yang sama.

Tetapi kali ini, dengan projek Kompleks Sukan Merbau di Pasir Puteh yang dijangka siap pada 2027, harapan penduduk Kelantan untuk melihat negerinya menjadi tuan rumah SUKMA kembali menyinar. Hal ini berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) yang memilih Kelantan sebagai lokasi penganjuran SUKMA 2028.

Apabila siap nanti, Kompleks Sukan Bukit Merbau dijangka mampu menampung 20,000 penonton menempatkan enam komponen iaitu stadium utama, arena tertutup, stadium hoki, lapang sasar menembak, kompleks skuasy dan gelanggang boling padang.

Memang ada segelintir pihak yang tidak matang seperti Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed apabila memilih untuk bermain politik jahat dengan memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang kononnya menafikan hak negeri itu menjadi tuan rumah SUKMA 2024.

Tetapi hakikatnya, Kelantan sendiri tidak bersedia untuk menjadi penganjur kerana infrastruktur utama sukan seperti Kompleks Sukan Merbau masih belum siap. Inilah masalah bila gagal ukur baju di badan sendiri.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Suka dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Wan Roslan Wan Hamat sendiri mengakui kenyataan pemimpin Pas itu ada salah faham dan perlu diperbetul. (https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-kelantan-akur-jadi-tuan-rumah-sukma-2028-411394)

Namun begitu, Hannah Yeoh tidak memilih untuk memanjangkan sengketa. Selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah, beliau fokus untuk memastikan persediaan SUKMA 2028 di Kelantan berjalan lancar.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepimpinan Hannah Yeoh dikerah mengambil sikap terbuka dan bekerjasama dengan semua pihak terutama Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir PAS.

Untuk memastikan semuanya berjalan lancar, mesyuarat yang melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah diadakan untuk memastikan persiapan berjalan lancar.

Contohnya pada 24 April 2025, Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu bermesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Kalau ada penduduk atau asatizah di Kelantan yang bimbang SUKMA 2028 nanti akan menyaksikan aurat para atlet terdedah sehingga bakal mengundang bala bencana seperti kebanjiran pil kuda, perkara ini telah pun diberikan perhatian.

Hannah Yeoh sendiri mengambil sikap terbuka apabila menyatakan kesediaan untuk berbincang isu ini agar satu garis panduan yang dikehendaki oleh Kelantan dapat dilaksanakan.

Hasilnya, muncullah Dasar Sukan Mesra Islam yang disediakan oleh Kelantan.

Menurut Ketua Penyelidik Polisi dan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan, Prof Dr Abdul Halim Mokhtar, dasar yang melibatkan pelbagai pihak ini akan memberikan fokus kepada beberapa elemen seperti pakaian, waktu solat, makanan dan minuman, penajaan, acara, kedudukan lelaki dan perempuan serta banyak lagi.

Inilah manfaat yang diperoleh apabila persekutuan dan negeri mengambil sikap matang dan bekerjasama untuk membawa manfaat kepada rakyat. Impaknya bukan sahaja kestabilan dapat dirasai tetapi juga membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada pelbagai pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *