Memimpin sebuah kementerian bukanlah tugasan yang mudah. Tambahan pula jika portfolionya melibatkan pelbagai bidang dan pihak. Salah satu kementerian yang penting adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sesiapa yang menjadi menteri untuk KBS perlulah seorang yang kreatif, aktif, prihatin serta mampu mengambil keputusan yang cepat dan baik. Sebabnya mudah; kebanyakan belia adalah golongan impulsif yang memerlukan pendekatan yang sesuai untuk menanganinya. Begitu juga bidang sukan. Bidang ini terlalu banyak kategorinya. Bagi setiap kategori pula banyak cabangnya.
Sukan pula tidak boleh diasingkan daripada motif keuntungan dan memelihara jati diri sesebuah bangsa. Maka menjadi menteri belia dan sukan umpama memegang serentak rantai leher dua harimau liar yang perlu dijinakkan.
Begitulah senario rumit dan kompleks yang digalas oleh Hannah Yeoh sejak dilantik sebagai menteri belia dan sukan.
Walaupun sukar tetapi sepanjang beliau menjadi menteri, pelbagai inisiatif telah digerakkan untuk memastikan bidang berkaitan belia dan sukan berada dalam ekosistem yang teratur, berkesan dan paling penting tiada siapa yang ketinggalan.
Berikut adalah inisiatif yang dilakukan oleh Hannah yang melibatkan bantuan kewangan untuk memperkukuh ekosistem pembangunan sukan dalam negara:
- Dana Sukan Komuniti (DSK)
Kebanyakan bidang sukan selain menekankan kepentingan pembangunan fizikal dan bermotifkan keuntungan material. Tetapi, persoalan sukan sebagai gaya hidup rakyat seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan sering diabaikan.
Rentetan itu, dana ini telah diwujudkan pada 3 Julai 2023 sebagai sokongan kepada penganjuran program pembangunan sukan di peringkat komuniti. Permohonan dana ini terbuka kepada persatuan, kelab atau pertubuhan yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
Peruntukan ini meletakkan siling RM30,000 untuk peringkat negeri dan RM50,000 bagi keseluruhan tahun semasa. Program yang bernilai di bawah RM10,000 akan memperoleh peruntukan secara ‘one-off’ dan jika lebih, sebanyak 70 peratus akan dibayar sebelum program dan bakinya selepas laporan program dihantar dalam masa 30 hari daripada tarikh program.
Permohonan boleh dibuat untuk pelbagai jenis sukan yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997.
Untuk memohon, sila layari pautan http://www.kbs.gov.my/dsk atau hubungi
i. Peringkat Kebangsaan
Hotline : 03-88713585
ii. Peringkat Negeri
Hotline : JBS Negeri-Negeri
iii. E-mel : sekretariatdsk@kbs.gov.my
- Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP)
Sepak takraw merupakan sukan yang berpotensi untuk dimartabatkan sebagai acara bertaraf antarabangsa. Malaysia pula memiliki sejarah yang hebat dalam sepak takraw.
Oleh itu, bukan sahaja pencarian bakat baharu sebagai pelapis pemain negara perlu dilatih, sukan ini juga memerlukan kumpulan jurulatih dan pegawai teknikal yang terlatih serta berpengalaman luas bagi memastikan bidang ini terus cemerlang.
Menyedari hal ini, KBS telah memperuntuk sebanyak RM1.5 juta setahun kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menjayakan inisiatif NSTDP. Peruntukan ini diyakini mampu merancakkan lebih banyak program pembangunan sekaligus mencetak bakat-bakat baharu untuk berjuang di pentas antarabangsa.
- Dana Sukan Permotoran (DSP)
Pada 2023, KBS telah mengumumkan DSP sebanyak RM5.6 juta untuk membangunkan sukan ini dengan pembahagian agihan: Persatuan Sukan Permotoran Malaysia atau MAM (RM1.9 juta), Jabatan Belia dan Sukan Negeri (RM450,000) dan kelab-kelab serta persatuan peringkat negeri (RM3.2 juta).
Untuk memastikan ayam tambatan sukan permotoron boleh menyertai acara di peringkat antarabangsa, mereka memohon bantuan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) untuk menampung kos penyertaan semasa di sana nanti.
- Geran Pentadbiran dan Program Rakan Muda
Bagi generasi kelahiran 1980-an dan 1990-an pasti cukup kenal dengan program Rakan Muda yang diperkenal 29 Oktober 1994. Lagunya yang kerap disiarkan di televisyen amat mengimbau memori zaman pelajar yang aktif dan cerdas.
Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, Rakan Muda kembali diberi nyawa sebagai platform untuk anak muda memperkukuh jati diri, memupuk perpaduan dan membangunkan sahsiah.
Bagi tujuan itu, pada tahun lalu, pelbagai peruntukan telah diagihkan seperti Majlis Belia Malaysia atau MBM (RM5 juta) menerusi Geran Pentadbiran, program Rakan Muda (RM2 juta) dan kumpulan belia (RM3 juta yang ditambah oleh Perdana Menteri).
Hannah Yeoh merancang untuk memastikan program Rakan Muda akan dianjurkan di setiap daerah seluruh negara untuk memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.
- Bantuan Kebajikan kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)
Mungkin nama persatuan ini kurang dikenali tetapi merekalah tenaga penting yang akan membuat laporan, mengulas, mengkritik dan mencadangkan solusi bagi memastikan bidang sukan sentiasa terbela.
Tanpa mengabaikan kumpulan yang mungkin kurang dikenali orang ramai ini, Hannah Yeoh telah menyalurkan dana sebanyak RM30,000 kepada SAM bertujuan menjaga kebajikan ahli dan keluarga persatuan tersebut.
- Insentif Cukai untuk Aktiviti Sukan
Untuk memajukan lagi bidang sukan, KBS telah menawarkan insentif cukai kepada pihak swasta seperti terkandung dalam Belanjawan 2024.
Bidang sukan memang memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Untuk memastikan penganjuran berjalan lancar, penajaan dan pelaburan daripada pihak swasta amatlah diharapkan.
Sehubungan dengan itu, insentif cukai yang menarik boleh membantu kerajaan memastikan penganjuran pelbagai aktiviti sukan dapat dibuat dengan baik.
Satu lagi insentif yang menarik adalah pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk bayaran berkaitan sukan seperti yuran atau peralatan sukan.
Diyakini langkah ini akan membantu ibu bapa untuk menyokong minat anak-anak mereka dalam bidang sukan sekaligus merancakkan pembentukan bakat-bakat baharu atlet dalam negara.
Kesimpulan
Oleh kerana, sukan adalah bidang yang sentiasa berkembang, dinamik dan progresif, banyak dana diperlukan untuk memastikan kemampanannya sebagai identiti baharu negara selaras dengan Visi Sukan Negara 2030 dan Malaysia MADANI.
Kita mengharapkan peruntukan yang diagihkan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan baik oleh pihak yang terlibat untuk memastikan pembangunan sukan menjadi holistik, inklusif serta memupuk budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.