
Jika kita perhatikan secara umum, berenang seperti kurang diberikan perhatian berbanding aktiviti lain seperti berjoging, memanjat bukit, kayuh basikal dan sebagainya.
Senario ini mungkin kerana berenang memerlukan akses kepada fasiliti air yang selamat dan terjamin seperti kolam renang yang lengkap dengan pemantauan orang dewasa.
Kebanyakan orang terutama ibu bapa bimbang untuk membiarkan anak-anak berenang kerana risiko lemas sehingga membawa kepada kehilangan nyawa.
Kebimbangan ini memang berasas kerana berdasarkan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat pada tahun 2022, terdapat lebih 300 kes lemas direkodkan setiap tahun yang mana majoritinya adalah kanak-kanak.
Selain akses yang kurang kepada fasiliti kolam renang, sukan ini juga dianggap mahal kerana yuran yang dikenakan di luar kemampuan orang biasa.
Tetapi jika diselidik, aktiviti renang mempunyai manfaat yang besar kepada individu kerana menggunakan semua anggota tubuh badan sekaligus memelihara kesihatan fizikal dan mental.
Jika dalam keadaan yang genting, berenang juga boleh menjadi kemahiran untuk menyelamatkan diri atau orang lain sekaligus mengelakkan risiko mati lemas.
Menyedari kepentingan aktiviti ini kepada orang ramai khusunya kanak-kanak, Kementerian Belia dan Sukan telah melancarkan inisiatif yang dikenali sebagai program Kemahiran Latihan Asas Sukan Renang (KLAS Renang) pada 13 Mei 2023.
Tiga kumpulan utama yang disasarkan sebagai peserta adalah kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 6 hingga 15 tahun dan warga emas berumur 60 hingga 75 tahun.
Para peserta akan diperkenal kemahiran asas berenang dengan matlamat utama mengurangkan kadar kematian akibat lemas dan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan laporan, sehingga November 2024, lebih 8000 peserta telah menerima manfaat daripada program ini. Bilangan ini telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2023 iaitu seramai 5000 peserta sahaja.
Kesungguhan KBS di bawah kepimpinan Hannah Yeoh untuk menjadikan sukan renang terus popular dalam kalangan rakyat Malaysia boleh dilihat melalui peruntukan sebanyak RM3.6 juta melalui Belanjawan 2024 yang bertujuan meluaskan KLAS Renang ke lebih banyak lokasi.
Setakat 2024, dilaporkan KLAS Renang telah dilaksanakan di 222 lokasi yang mempunyai kemudahan fasiliti berenang.
Inisiatif ini juga membuka peluang kepada KBS untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan ahli-ahli Parlimen untuk membaiki atau menaik taraf kolam renang yang telah rosak dan ditutup akibat kos operasi yang tinggi.
Selaras dengan hasrat untuk membudaya dan merakyatkan sukan yang terkandung dalam aspiran Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) dan kerangka Malaysia MADANI, inisiatif ini turut mendapat sokongan korporat seperti rangkaian jualan peralatan sukan, Decathlon dan Pos Malaysia yang memabntu menyediakan kelengkapan renang untuk peserta.
Dengan inisiatif bernas daripada Hannah Yeoh ini, sukan renang bukan sahaja berjaya membuka peluang kepada semua rakyat pelbagai peringkat malah memupuk gaya hidup sihat serta aktif.
Tidak mustahil, daripada KLAS Renang ini nanti bakal melahirkan seorang atlet renang negara bertaraf antarabangsa.