
Kebanyakan kita menganggap perjalanan ke luar negara selama beberapa hari untuk hadir ke forum, mesyuarat, persidangan dan sebagainya adalah urusan golongan berada atau T20.
Persepsi begini tidak salah kerana kos ke luar negara memang tinggi merangkumi pelbagai perkara seperti tiket penerbangan, penginapan, yuran dan sebagainya.
Kalau kita bernasib baik, separuh atau seluruh perbelanjaan itu ditanggung oleh pihak tertentu seperti kerajaan atau syarikat-syarikat besar. Kalau nasib tidak baik, harapan untuk berdiri atau muncul di pentas antarabangsa adalah impian yang kekal sebagai harapan yang tidak mampu dilunaskan.
Untuk membayangkan betapa susahnya mencari penaja supaya kita dapat ke luar negara sahaja sudah susah dan membebankan. Apatah lagi untuk direalisasikan.
Mungkin sebab itu kebanyakan dalam kalangan kita terutamanya anak muda menganggap tidak penting untuk berada di pentas antarabangsa baik sebagai peserta atau panel walaupun impak positifnya baik kepada diri dan negara.
Penglibatan anak muda di pentas antarabangsa penting untuk mengangkat nama negara kerana pada usia begini, idea memang masih segar untuk dikongsikan.
Menyedari dan menginsafi keperluan anak muda terlibat secara aktif di pentas antarabangsa, maka pada April 2025, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperkenal satu inisiatif yang amat baik iaitu Dana Antarabangsa Belia (International Youth Fund, IYF@KBS).
Tujuannya mudah, memastikan golongan belia tidak lagi menjadi jaguh kampung. Jadi juara idea hanya dalam negara walhal potensinya mampu membantu masyarakat dunia.
Apatah lagi Kerajaan MADANI ketika ini dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Seorang tokoh cemerlang sejak zaman kampus. Beliau jaguh bukan hanya dalam negara tetapi sering terlibat aktif di pentas antarabangsa melalui pelbagai platform seperti World Assembly Muslim Youth (WAMY).
Impaknya bukan sedikit. Walaupun semasa menjadi ketua pembangkang, kita sendiri boleh lihat bagaimana beliau dengan mudah dapat berhubung mesra dengan pemimpin dunia. Apatah lagi apabila menjadi Perdana Menteri, dengan mudah beliau dapat ‘menjual’ nama Malaysia untuk menarik pelaburan asing dari negara luar serta syarikat asing.
Sudah tentu, Perdana Menteri juga mahu anak muda pada zaman kepimpinannya dibuka peluang yang sama untuk mengasah idea, pengalaman dan jaringan organisasi serta bersahabat dengan pelapis kepimpinan negara di seluruh dunia.
Menteri KBS, Hannah Yeoh pula cukup cekap membaca keperluan ini apabila merangka inisiatif IYF@KBS untuk golongan belia membuat permohonan. IYF@KBS lahir sebagai usaha konkrit untuk memastikan belia Malaysia bukan sahaja aktif di dalam negara, tetapi juga berani bersuara dan beraksi di pentas global.
Inilah masanya supaya wajah dan idealisme anak muda Malaysia menerjah ke pelusuk dunia. Suaranya yang lantang mengutuk kezaliman, kebijaksanaannya mencadangkan solusi yang praktikal, santunnya berbahasa di depan pelbagai bangsa dan agama perlu menjadi watak baharu anak muda Malaysia yang mahu ‘menakluk’ dunia.
Inilah pelaburan yang dibuka peluang kerajaan dan dijayakan KBS di bawah kepimpinan Hannah untuk anak muda. Benar, pembiayaannya tidak murah tetapi ini bukan isu wang tetapi pembangunan belia dalam bidang kepimpinan di peringkat antarabangsa.
Apa Itu IYF@KBS?
Inisiatif ini menyokong penyertaan belia Malaysia dalam program antarabangsa seperti mesyuarat, forum, dan simposium yang dianjurkan oleh badan-badan seperti ASEAN, PBB, Komanwel dan NGO antarabangsa.
Peserta yang layak boleh memohon geran sehingga RM20,000 untuk menampung kos seperti tiket penerbangan, penginapan, yuran penyertaan, insurans dan visa.
Tetapi harus diingatkan, pemohon pula mestilah belia yang berumur 18 hingga 30 tahun dan merupakan ahli kepada organisasi berdaftar seperti kelab belia, NGO atau pertubuhan pelajar.
Jika anda merasa memenuhi syarat yang ditawarkan, sila layari https://www.kbs.gov.my/iyf