July 27, 2025
Sistem Alamat Nasional: kerajaan nak tukar alamat rumah kita?

Sistem Alamat Nasional: kerajaan nak tukar alamat rumah kita?

Baru-baru ini, Kementerian Komunikasi mengumumkan pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) — satu usaha menyeluruh untuk memusat dan mempiawaikan semua alamat di Malaysia. Ramai yang tertanya-tanya: “Alamat rumah kami pun nak tukar ke?” Sebenarnya, bukan soal tukar alamat sesuka hati, tetapi lebih kepada memastikan setiap alamat yang wujud itu sahih, berpandukan piawaian, dan sesuai digunakan dalam dunia digital yang serba pantas hari ini.

Kenapa Perlu Piawai Alamat?

Malaysia memiliki sekitar 12 juta alamat, namun pada ketika ini tiada satu pun pangkalan data tunggal yang menghimpunkan kesemuanya secara sahih dan berpiawai. Banyak agensi kerajaan dan swasta menyimpan data alamat yang tidak selaras, tidak sah, dan sukar digunakan secara digital. Akibatnya:
• Pos lambat sampai atau sesat.
• Ambulans gagal kesan lokasi kecemasan tepat pada waktunya.
• Kurier dan penghantaran makanan terlewat.
• Sukar rancang pemasangan utiliti seperti air dan elektrik.

Dengan NAS, setiap alamat akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik, berlandaskan piawaian MS2039 yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia. Ini bukan sahaja penting untuk pentadbiran, tetapi juga untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital, keselamatan awam, dan kelancaran perkhidmatan harian.

Negara Mana Dah Buat?

Malaysia bukan yang pertama. Australia dan United Kingdom telah lama membangunkan sistem alamat kebangsaan yang efisien. Di UK, sistem alamat dikenali sebagai Royal Mail Address Management, yang membantu kerajaan dan sektor swasta membuat perancangan bandar, penghantaran logistik, dan juga menjimatkan kos. Di Australia pula, Geocoded National Address File (G-NAF) menjadi rujukan penting bagi kerajaan negeri dan tempatan untuk pembangunan dan respon kecemasan.

Model negara luar menunjukkan kejayaan apabila sistem alamat yang teratur membolehkan semua sektor, daripada perkhidmatan awam hingga perniagaan kecil, beroperasi dengan lebih tepat, cepat dan berkesan.

Kalau Kita Tak Buat?

Jika Malaysia terus menggunakan sistem alamat yang ketinggalan zaman dan tidak selaras, kita akan terus berdepan dengan:
• Gangguan dalam penghantaran barangan dan perkhidmatan.
• Kelewatan tindak balas kecemasan dalam situasi kritikal seperti banjir atau kebakaran.
• Kehilangan peluang pelaburan dalam sektor e-dagang dan logistik.
• Pembaziran masa dan sumber apabila agensi kerajaan perlu membetulkan data atau membuat pengesahan manual.

Kajian awal pelaksanaan NAS menunjukkan potensi limpahan ekonomi sehingga RM2 bilion dan penciptaan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam masa lima tahun. Ini bukti bahawa sistem alamat bukan sekadar isu surat sampai atau tidak, tapi soal ekonomi, keselamatan dan kemajuan negara.

NAS adalah langkah strategik untuk memastikan Malaysia tidak tercicir dalam perlumbaan ekonomi digital, memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan, dan menjadikan alamat kita lebih pintar, tepat, dan berfungsi untuk masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *