Malaysia kini berdepan cabaran besar susulan pelaksanaan tarif 25% oleh Amerika Syarikat terhadap barangan import dari beberapa negara Asia termasuk Malaysia, khususnya dalam sektor automotif, semikonduktor dan farmaseutikal.
Menurut laporan, sekitar 60% eksport Malaysia ke AS terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik (E&E) sekaligus menjadikan sektor ini paling terkesan. Tarif baharu ini dijangka menyebabkan penurunan permintaan serta gangguan dalam rantaian bekalan global yang turut memberi kesan kepada pasaran serantau.
Nilai ringgit yang melemah berbanding dolar AS turut meningkatkan kos import dan tekanan inflasi domestik. Namun begitu, kerajaan melihat situasi ini sebagai peluang menarik pelaburan luar, terutama daripada syarikat-syarikat yang mencari alternatif kepada China.
Dalam usaha mengimbangi kesan negatif, Malaysia mengusulkan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS untuk membincangkan isu tarif ini secara serantau.
Mengulas situasi ini, seorang pengulas ekonomi, Nazri Hamdan berkata, Malaysia berupaya memimpin negara ASEAN lain untuk membentuk satu pasukan ekonomi bagi mengendalikan rundingan perdagangan dengan kuasa Barat seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Menggunakan analogi perlawanan bola sepak, beliau berkata, permainan akan menjadi lebih seimbang ketika berdepan lawan yang besar apabila pasukan terdiri daripada barisan pertahanan dan penyerang yang kuat.
Beliau turut memetik cadangan pakar ekonomi Woo Wing Thye yang menyarankan agar ASEAN membentuk sebuah “buffer bloc” dengan negara Asia Timur lain untuk menghadapi tekanan ekonomi AS.
“Maksud dia, kalau ASEAN nak survive dalam suasana ekonomi global yang makin ganas ni, tak boleh main solo. Kita perlukan ‘payung’ serantau yang boleh bantu lindungi ekonomi kita dari tempias perang dagang.
“Buffer bloc ni boleh bentuk macam mini-EU versi Asia Timur. Bukan saja boleh tangani tekanan tarif, tapi juga boleh percepatkan integrasi ekonomi — dari pelaburan, logistik, tenaga kerja sampai ke AI dan semikonduktor.
“Kalau tak mula sekarang, kita akan terus jadi mangsa polisi negara besar. Sedangkan kita ada potensi jadi kuasa ekonomi yang dihormati kalau main secara berpasukan,” ujarnya menerusi laman sosial Facebook.
Dalam perkembangan semasa, Malaysia turut memperluas pasaran eksport ke Afrika, Amerika Latin dan negara-negara Timur Tengah.
Malaysia juga dijangka akan meraih manfaat daripada peralihan perdagangan global dengan cara mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pembuatan dan logistik serantau.