July 27, 2025
Kerajaan Madani Kekal Kukuh Walaupun Dua Menteri Meletak Jawatan

Kerajaan Madani Kekal Kukuh Walaupun Dua Menteri Meletak Jawatan

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal stabil dan kukuh walaupun dua menteri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet baru-baru ini.

Peletakan jawatan itu disifatkan sebagai langkah strategik dan bukan petunjuk kepada keretakan dalam kerajaan.

Kedua-dua tokoh itu kekal sebagai Ahli Parlimen PKR dan menyatakan komitmen mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta mendukung agenda reformasi Kerajaan Madani.

Malah, struktur dalaman PKR terus menunjukkan kestabilan.

Dua menteri besar dari Selangor dan Negeri Sembilan yang berjaya memenangi jawatan Naib Presiden, menandakan keyakinan akar umbi terhadap barisan kepimpinan yang sedia ada.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula, yang dikaitkan sebagai ‘orang Rafizi’ dan tewas dalam pemilihan Ketua Cabang Johor Baharu, berjaya mempertahankan kedudukan selepas menang dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Beliau juga terus menjalankan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Apa yang penting, tiada seorang pun ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti atau menarik sokongan terhadap kerajaan.

Ini membuktikan solidariti dalam kalangan pemimpin dan wakil rakyat PKR tetap utuh.

Segala dakwaan kononnya kerajaan kini berada dalam keadaan tidak stabil adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Rakyat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan naratif pihak tertentu yang menjadi penyambung lidah pemfitnah.

Kerajaan Madani terus melaksanakan agenda reformasi, menjunjung prinsip integriti dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat. Peletakan jawatan dua menteri ini tidak menjejaskan keutuhan pentadbiran, sebaliknya membuka ruang untuk pembaharuan dan penyegaran kepimpinan yang lebih dinamik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *