Tindakan kerajaan mengusir syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd (MKLSB) daripada pengurusan Menara Kuala Lumpur tidak wajar dianggap sebagai menindas syarikat bumiputera.
Aktivisi politik, Aliff Jamil berkata, penamatan MKLSB yang digantikan dengan syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) berlaku mengikut tertib perundangan tanpa menindas mana-mana pihak.
“Apa yg berlaku hari ini, kerajaan sudah ambil tindakan mengusir kontraktor ini (MKLSB) disebabkan masih beroperasi selepas tamat konsesi pada Mac lalu.
“Konsesi baru sudah diberi kepada syarikat Bumiputera. Yang ambil alih pengurusan sekarang adalah LSH Service Master Sdn Bhd yg diusahasamakan dengan syarikat Bumiputera juga. Jadi dimana penganiayaan terhadap Bumiputera itu?” soalnya.
Beliau mengulas isu tersebut selepas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal tindakan kerajaan yang dianggap tidak adil kerana menamatkan kontrak MKLSB.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa pendudukan MKLSB di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac lalu didakwa tidak sah.
Dalam satu kenyataan, kementerian turut memberitahu, bermula 1 April lalu, pentadbiran Menara Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah pentadbiran syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).
Sebanyak dua notis pengosongan telah dikeluarkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan terhadap pihak MKLSB pada 3 April dan 9 April lalu.
“Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan,” ujar kenyataan tersebut.
Kementerian Komunikasi turut memaklumkan aset milik kerajaan itu juga akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.
“Tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media,” katanya.