Arahan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi berada pada tahap memuaskan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning mendapat pujian para pengamal media.
Jurukamera, Wan Zahari Wan Salleh berkata, talian internet yang memuaskan telah banyak membantu kumpulannya untuk menyediakan bahan berita dengan lancar dan teratur.
“Alhamdulillah, internet di sini baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, tak ada sangkut-sangkut,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiadateline.
Seorang lagi petugas media Pakatan Harapan (HARAPAN), Shahril Muhammad turut berpuas hati dengan talian telekomunikasi di kawasan berkenaan.
“Liputan internet ok je kat sini kecuali kawasan luar sikit adalah sangkut-sangkut,” katanya.
Bagi memastikan layanan pelanggan terjaga, MCMC juga membuka kaunter aduan di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang bermula 12 hingga 26 April dengan waktu operasi pada 9 pagi.
Terdahulu, Fahmi mengarahkan penambahbaikan segera dilaksanakan selepas menerima aduan berhubung talian telekomunikasi yang lemah di DUN berkenaan sehingga menyukarkan pelbagai pihak terutama media untuk melaksanakan tugasan.
Susulan arahan itu, SKMM telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang lagi di kawasan berkenaan.
Antara penyedia yang tampil mengemukakan pelan tindakan adalah CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL.
Pelbagai inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara; dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.
Sebanyak 27 kawasan turut disenaraikan untuk memastikan liputan internet dan telekomunikasi stabil yang antaranya Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, Pusat Media di PPD Batang Padang, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI Sri Bidor serta 21 Pusat Mengundi di DUN berkenaan.