April 21, 2025
Walau ditohmah ‘gagal’, MADANI tetap salur duit raya RM500 kepada penjawat awam Terengganu

Walau ditohmah ‘gagal’, MADANI tetap salur duit raya RM500 kepada penjawat awam Terengganu

Selepas menanti penuh debaran, akhirnya penjawat awam seramai lebih 14,000 di Terengganu boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Kewangan bersetuju membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500.

Bantuan yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini dibuat susulan kunjungan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu pada 21 Mac lalu.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut memberi alasan kononnya kewangan kerajaan negeri ‘dipegang’ oleh Putrajaya ketika menjawab persoalan berhubung pemberian duit raya pada tahun ini.

“Jadi kita kena mohon dahulu, duit kita di sana (Putrajaya),” ujarnya seperti disiarkan TV Darul Iman.

Dalam pada itu, ramai pihak mempersoal keupayaan Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Adun Rhu Rendang itu yang digembar-gembur sebagai bakal Perdana Menteri ke-11 sehingga terpaksa mengharapkan ehsan Putrajaya untuk menyediakan bantuan dana raya.

Dalam pada itu, susulan pemberian BKKA daripada Putrajaya itu, netizen turut membangkitkan semula temubual Samsuri dalam podcast ‘Keluar Sekejap‘ pada tahun lalu yang telah memberikan taraf ‘gagal’ kepada Kerajaan MADANI.

Untuk perbandingan antara empat negeri yang dipimpin oleh Pas, hanya Perlis telah memberikan BKKA sebanyak RM500 kepada kira-kira 1,700 penjawat awam negeri, Kelantan pula dijangka akan mengumumkan pada minggu ini manakala Kedah masih belum memberikan sebarang respon.

Di samping BKKA yang diumumkan Kementerian Kewangan, turut timbul persoalan adalah bilangan penjawat awam Terengganu yang terlalu tinggi berbanding jumlah penduduk negeri.

Seorang pempengaruh, Najib Bakar telah membandingkan bilangan penjawat awam Terengganu semasa pentadbiran Barisan Nasional dengan Pas.

“Tahun terakhir BN perintah Terengganu pada tahun 2017, penjawat awam negeri cuma berjumlah 6,230 orang.

“Tahun pertama PAS ambil alih Terengganu tahun 2018, penjawat awam negeri dah mencecah 12,000 orang. Sekelip mata berganda,” ujarnya melalui perkongsian di Facebook.

Berdasarkan maklumat tersebut, beliau membayangkan kemungkinan kejayaan Pas membuka industri yang memberi peluang pekerjaan kepada penduduk negeri itu adalah melalui industri penjawatan awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *