April 21, 2025
Siasat kes rasuah bekas pemimpin negara: tiada lagi sikap pilih kasih

Siasat kes rasuah bekas pemimpin negara: tiada lagi sikap pilih kasih

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedikit mengejutkan.

Siapa sangka, dengan gaya percakapan yang lembut dan imej yang tidak begitu agresif, tiba-tiba beliau terheret dengan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Mungkin juga ramai yang tidak perasan bahawa pertama kali Ismail disoal siasat SPRM adalah pada Januari 2023 yang melibatkan salah guna dana kerajaan berjumlah RM700 juta.

Menurut SPRM, siasatan terhadap ahli Parlimen Bera itu dibuat melalui dua akta iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Susulan siasatan tersebut, pada 11 Disember 2024, SPRM mengarahkan Ismail untuk mengisytiharkan hartanya di bawah Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009.

Seperti mana diketahui wataknya yang lemah-lembut, beliau sekadar akur dengan arahan itu dan mengisytiharkan hartanya pada 10 Februari 2025.

Dari manakah punca Ismail terlibat dengan jenayah ini?

Semuanya daripada perbelanjaan dan dana perolehan yang digunakan untuk promosi serta publisiti tagline ‘Keluarga Malaysia’ yang dipelopori oleh Ismail. Tagline ini juga bukanlah unik dan segar tetapi di sebaliknya, menular gejala rasuah.

Susulan siasatan SPRM lagi, empat pegawai kanan Ismail semasa menjadi perdana menteri telah ditahan. Mereka adalah Dato’ Mohammad Anuar Mohd Yunus, Dato’ Syed Mohd Fazmi Bin Sayid Mohammad, Mohd Hafizuddin Bin Mohd Ariff dan Wan Hazirah Binti Wan Draman @Wan Razali.

Dalam kenyataan media pada 24 Februari lalu, SPRM mengatakan siasatan terhadap mereka dibuat di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada 2 Mac lalu pula, SPRM memaklumkan hasil siasatan, pihaknya telah menyerbu dan menggeledah kediaman dan tiga premis lain yang dipercaya sebagai ‘safehouse’.

Penemuan SPRM amat mengejutkan. SPRM menemui wang tunai pelbagai mata wang dengan anggaran RM170 juta dan 16 kg jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta.

Dalam sidang media pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, Ismail kini merupakan suspek dalam siasatan kes tersebut.

Dalam perkembangan terkini, selepas tertunda kerana masalah kesihatan, Ismail telah hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dirinya.

Kini, Ismail merupakan bekas perdana menteri keempat yang disiasat membabitkan kes rasuah selepas Najib Razak (1MDB), Muhyiddin Yassin (Jana Wibawa) dan Mahathir Mohamad (akaun luar pesisir).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *