April 21, 2025
Tingkat kawalan keselamatan, pasukan perubatan untuk elak tragedi kematian berulang

Tingkat kawalan keselamatan, pasukan perubatan untuk elak tragedi kematian berulang

Sambutan tahun baharu 2025 tercemar dengan insiden kematian 4 pengunjung semasa konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, daripada empat si mati, kematian tiga pengunjung berpunca daripada salah guna dadah jenis perangsang atau stimulant drugs intoxication.

Susulan tragedi itu, seramai 41 individu telah diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi membantu siasatan.

Mengulas insiden tersebut, penggiat seni dan penulis, Aiman Nazirmuddin berkata, sewajarnya penganjur mengambil berat risiko penggunaan dadah dalam acara hiburan yang disertai ramai orang.

Tanpa menafikan hak orang ramai untuk berhibur, namun begitu, katanya, kejadian buruk sehingga melibatkan kematian seperti yang berlaku semasa konsert itu akan menyebabkan persepsi buruk dan menjejaskan periuk nasi para penggiat seni yang lain.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menyemak prosedur penganjuran acara hiburan termasuklah dengan mengetatkan kawalan keselamatan di setiap laluan keluar-masuk.

“Memang ada sesetengah pengunjung yang licik. Dadah yang diseludup disembunyikan di bahagian sulit. Dengan kehadiran pengunjung mencecah puluhan ribu, sukar sebenarnya pemeriksaan rapi boleh dibuat ke atas semua,” katanya.

Ketika dihubungi madanikini baru-baru ini, beliau berkata, sewajarnya penganjur telah bersedia meningkatkan kawalan keselamatan termasuklah menggunakan anjing pengesan untuk memastikan penyeludupan bahan terlarang boleh dielakkan.

“Tetapi jangan lupa, selain daripada kawalan keselamatan, penganjur juga perlu menyediakan pasukan perubatan dengan bilangan yang memadai supaya sebarang insiden dapat ditangani lebih awal.

“Kita faham semua persediaan ini menelan kos yang tinggi kepada penganjur tetapi itulah harganya untuk mengadakan acara yang melibatkan ribuan pengunjung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *