April 21, 2025
Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi mampu kekang penularan jenayah dalam talian

Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi mampu kekang penularan jenayah dalam talian

Jika dahulu media sosial dianggap sebagai satu hiburan sampingan atau ruang untuk mencari kenalan, kini fungsi tersebut telah berubah secara drastik.

Media sosial bukan lagi sekadar platform untuk berkenalan tetapi semakin pelbagai seperti meluahkan pendapat, mencari pendapatan dan membina populariti.

Di sebalik hal ini, ada kebimbangan yang semakin meningkat berhubung keselamatan data dan diri pengguna kerana platform ini juga digunakan oleh para penjenayah merangkumi pelbagai kesalahan. Antaranya adalah pemerdayaan (scamming), pelacuran, perjudian dan sebagainya.

Tindakan untuk membanteras jenayah ini agak sukar secara tuntas. Setiap tindakan yang diambil hanya boleh disifatkan sebagai memadam api tanpa berupaya menghapuskan punca kebakaran.

Susulan situasi yang mencemaskan ini, Kerajaan MADANI giat merangka undang-undang bagi menangani keselamatan dalam talian bagi memastikan suasana siber yang lebih selamat dan terjamin untuk pengguna.

Hal ini ditegaskan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata, untuk memastikan masa depan yang lebih sejahtera dan terjamin, Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan negara ASEAN untuk mengawal selia isu keselamatan dalam talian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar adalah diwajibkan untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bermula 1 Januari 2025.

Objektifnya jelas; untuk memerangi peningkatan jenayah siber termasuk pemerdayaan, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Adakah ini menunjukkan Malaysia sedang mengekang hak kebebasan bersuara? Tidak. Sebaliknya, banyak negara di dunia telah mengambil tindakan yang serupa bagi mengawal isu-isu yang melibatkan keselamatan dalam media sosial.

Pelaksanaan ini disambut baik oleh eksekutif komunikasi, Arif Abdul Rahman yang pernah berpengalaman sebagai wartawan. Ketika dihubungi madanikini, beliau berkata, hak kebebasan bersuara rakyat perlu diimbangi dengan tanggungjawab kerajaan.

Tambahan pula, ujarnya, peningkatan jenayah dalam talian yang terus meningkat walaupun kempen kesedaran telah disebarluaskan oleh pihak kerajaan menunjukkan ‘cakap elok-elok’ sahaja tidak mencukupi.

“Kalau nasihat sudah tidak memadai, memang wajar juga gunakan rotan. Dalam isu ini, usaha kerajaan membasmi judi dalam talian seperti tidak berkesudahan kerana iklan seperti itu sentiasa wujud seperti tiada pemantauan,” ujarnya.

Menurut MCMC, kegagalan syarikat media sosial yang berkaitan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *