April 21, 2025
Majlis Media Malaysia (MMM) mampu perkukuh kebebasan media, tingkat ekosistem kewartawanan negara

Majlis Media Malaysia (MMM) mampu perkukuh kebebasan media, tingkat ekosistem kewartawanan negara

Selepas 50 tahun, akhirnya impian golongan pengamal media untuk melihat penubuhan sebuah badan kawal selia kendiri bagi menjadi kepentingan media dan pengamalnya berjaya dicapai.

Hal ini berlaku selepas Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan dengan sokongan majoriti di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dalam pembentangan kali kedua, berkata ketika ini, negara tidak memiliki suatu badan yang mengurus dan memperjuang kepentingan media dan pengamal media termasuk meningkatkan taraf dan kualiti ekosistem media.

Selain itu, beliau berkata, negara tidak mempunyai kod etika pelaporan yang seragam sebagai panduan kepada semua pengamal media.

Pengamal media, Radzi Razak menyambut baik penubuhan majlis tersebut dengan menyifatkannya sebagai langkah penting untuk memperkukuh kebebasan media dan meningkatkan tahap profesionalisme kewartawanan dalam negara.

“Walaupun terdapat beberapa perkara dalam struktur dan fungsinya yang masih menjadi tanda tanya dan menimbulkan kebimbangan, kami melihat penubuhan ini sebagai langkah awal ke arah sistem kawal selia kendiri yang lebih baik untuk industri media di Malaysia,” ujarnya ketika dihubungi madanikini.

Namun demikian, beliau mengingatkan bahawa kebebasan media masih belum tercapai sepenuhnya selagi undang-undang yang bersifat menyekat kebebasan bersuara masih wujud seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Justeru, beliau berharap agar MMM tidak menjadi sekadar simbolik semata-mata tetapi membawa peranan untuk memastikan ekosistem kewartawanan negara terpelihara.

“Kami berharap seluruh industri media, termasuk syarikat penerbitan dan wartawan sendiri, akan bersama-sama menjayakan majlis ini dengan memastikan ia berfungsi sebagai platform yang bebas, telus, dan berintegriti.  
 
“Kami akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan agenda kebebasan media kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *