April 21, 2025
JENDELA tingkatkan liputan internet luar bandar, bantu penduduk tingkat pendapatan

JENDELA tingkatkan liputan internet luar bandar, bantu penduduk tingkat pendapatan

Semasa seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 akibat penularan pandemik COVID-19, ada satu watak yang sehingga kini masih dikenali iaitu Veveonah Mosibin.

Secara tiba-tiba beliau menjadi popular kerana berusaha menjawab peperiksaan secara dalam talian (online) di atas pokok. Alasannya; untuk mendapat liputan internet yang lebih baik.

Kini, ramai penduduk di Sabah boleh menarik nafas lega. Liputan internet hampir bukan lagi menjadi satu masalah yang besar.

Hal ini demikian susulan daripada kenyataan Kementerian Komunikasi baru-baru ini di Dewan Rakyat. Dalam satu jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO), dilaporkan liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 94.40 peratus bagi tempoh setakat 31 Disember lalu.

Pencapaian ini berjaya direalisasikan hasil inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Daripada 659 menara komunikasi baharu yang dirancang, 426 telah berjaya dibina dan beroperasi.

Mengulas situasi terkini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Fasa 2 JENDELA dalam proses penelitian untuk memastikan pelaksanaan berjalan dengan baik di samping penambahbaikan daripada Fasa 1.

Namun begitu, tidak dinafikan masih wujud kekangan liputan internet disebabkan kawasan yang luas dan jauh pendalaman.

Menurut peguam, Muhd Amirul Asyraf Md Asri, selain masalah lokasi, faktor ekonomi keluarga turut menyebabkan kemudahan internet tidak dapat dimanfaatkan secara meluas.

“Setiap keluarga bukanlah dari golongan berkemampuan untuk menyediakan peranti dan data internet kepada anak-anak mereka dan sebenarnya menyukarkan anak-anak mereka mempunyai akses kepada internet. Kekurangan fasiliti juga menjadi salah satu faktor yang menjadi penghalang kepada penggunaan internet di kawasan luar bandar di Sabah.

“Kekurangan makmal komputer, akses Wi-Fi, masalah bekalan eletrik dan kekurangan mereka yang mahir dalam pendidikan digital adalah salah satu kekangan bagi anak-anak luar bandar khususnya di Sabah dalam akses pendidikan secara atas talian,” ujarnya.

Dalam kenyataan, Kementerian Komunikasi turut menjelaskan beberapa kekangan yang menyebabkan kelewatan dalam pembinaan menara telekomunikasi. Antaranya adalah proses pemerolehan tapak tanah kerajaan yang mengambil masa lama.

Selain itu, kesukaran proses untuk memasang kabel gentian optik khususnya di kawasan pedalaman turut menjadi kekangan merangkumi faktor jalan yang berliku, bebanan binaan yang besar, cuaca, kekurangan bekalan dan tenaga kerja bertauliah yang kurang.

Ketika dihubungi madanikini, beliau menyatakan harapan agar masalah ini dapat diselesaikan bagi memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dengan pelbagai akses sumber maklumat merangkumi jurnal, e-buku, youtube dan sebagainya.

Kaedah yang fleksibel ini boleh meningkatkan minat pelajar untuk meningkatkan kefahaman pelajaran serta membantu para guru untuk menyediakan bahan pengajaran.

Selain kemudahan kepada guru dan pelajar, Amirul juga percaya, internet dan komunikasi yang baik di kawasan luar bandar atau pedalaman boleh membantu keluarga untuk meningkatkan pendapatan.

“Dengan kewujudan media sosial penduduk luar bandar dapat mempromosi Kawasan setempat yang cantik, kebudayaan yang unik serta ekonomi tempatan bagi menarik perhatian orang luar untuk datang dan sekaligus merancang ekonomi tempatan,” katanya.

Selain itu, capaian internet akan memudahkan penduduk luar bandar untuk mendapatkan maklumat terkini atau berurusan dengan agensi kerajaan.

“Penduduk luar bandar terutama peniaga kecil dan usahawan mikro lebih mudah mendapatkan maklumat bantuan dan pembiayaan dari pihak Kerajaan mahupun agensi lain tanpa perlu pergi ke bandar.

“Sesetengah permohonan juga sekarang boleh dilakukan secara atas talian, sekaligus memudahkan penduduk luar bandar tanpa perlu pergi ke pejabat-pejabat yang biasa ada di kawasan bandar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *