Algoritma pengiklanan berunsurkan perjudian perlu dihapuskan dalam semua media sosial dan penyedia perkhidmatan internet untuk memastikan masalah judi dalam talian ditangani.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, masalah judi dalam talian bukanlah perkara baharu dan kegagalannya mengawal akan membawa kesan buruk yang sukar dikawal.
“Masalah ini telah berlarutan terlalu lama. Apa yang perlu diberi perhatian dalam isu ini ialah langkah-langkah intervensi dan penambahbaikan yang berkaitan aspek psikologi, perundangan serta faktor-faktor lain yang dapat membantu menyelesaikan masalah perjudian dalam talian,” ujarnya seperti disiarkan portal berita, Edisi 9.
Terdahulu, pada 13 Februari lalu, di Dewan Rakyat, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan sebanyak 5,026 laman sesawang judi telah disekat manakala 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial diturunkan sehingga 1 Februari lalu.
Januari lalu, media melaporkan budaya judi dalam talian berada pada tahap kritikal apabila terdapat individu yang meminjam wang daripada ceti haram untuk berjudi.
Lebih parah apabila ada juga yang terpaksa menjual rumah keluarga semata-mata untuk melangsaikan hutang judi yang ditanggungnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyuarakan kebimbangan ekoran peningkatan orang Melayu beragama Islam yang turut terjebak dengan aktiviti tidak bermoral ini.
Kegusaran sama turut dikongsi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang melihat situasi akan bertambah teruk jika tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, masalah ini bukan bukan sahaja melibatkan penduduk bandar bahkan turut menular dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Mengulas lanjut, Nirwandy berkata, pelesenan media sosial akan memastikan tiada individu atau syarikat yang boleh mempromosi judi dalam talian secara sewenang-wenang menggunakan platform sendiri.
“Ini satu langkah wajar dan perlu dikuatkuasakan secara tegas,” katanya.
Pada November tahun lalu, Fahmi Fadzil mengumumkan langkah kerajaan untuk melaksanakan pelesenan platform media sosial bermula 1 Januari 2025 sebagai langkah penguatkuasaan untuk menangani pelbagai masalah termasuk buli siber, lucah dan perjudian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pula pada Ogos tahun lalu, mensyaratkan kepada semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai lapan juta pengguna berdaftar untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Antara platform media yang diwajibkan memohon lesen tersebut adalah WhatsApp, Facebook, Instagram, X, Yotube, Tiktok, WeChat dan Telegram.