Kurma adalah makanan sunnah yang diamalkan sejak zaman Rasulullah kerana khasiatnya yang tinggi, terutama dalam memberi tenaga ketika berpuasa. Namun, trend terkini seperti kurma butter yang menggabungkan kurma dengan mentega menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat. Adakah ia benar-benar berkhasiat atau sekadar satu trend makanan yang boleh memudaratkan kesihatan?
Sebiji kurma kering mengandungi kira-kira 67 kalori dan 18 gram karbohidrat, menjadikannya sumber tenaga segera yang ideal. Selain itu, ia kaya dengan serat (2 gram), membantu sistem pencernaan, serta mengandungi mineral penting seperti zat besi (0.9 mg) dan kalium (167 mg) yang baik untuk kesihatan jantung. Indeks glisemik (GI) kurma juga berada pada julat 44 hingga 53, bergantung kepada jenisnya, yang bermaksud ia tidak menyebabkan lonjakan gula dalam darah secara mendadak. Oleh itu, walaupun kurma manis secara semula jadi, ia tetap selamat diambil dalam jumlah sederhana, termasuk oleh pesakit diabetes.
Namun, apabila dicampur dengan mentega, nilai kalorinya meningkat dengan ketara. Sebiji kurma yang disalut dengan satu sudu teh mentega tulen (5 gram) mengandungi sekitar 98 kalori, hampir menyamai satu senduk nasi (110 kalori). Jika diambil dalam jumlah banyak, ia boleh menyebabkan lebihan kalori yang membawa kepada peningkatan berat badan dan obesiti. Selain itu, mentega mengandungi lemak tepu (3.5 gram per sudu teh) yang boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL), seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
Untuk yang ingin mencuba kurma butter, pemilihan mentega juga memainkan peranan penting. Pure butter lebih baik berbanding marjerin kerana marjerin mengandungi lemak trans yang berbahaya kepada kesihatan jantung. Pengambilan juga perlu dikawal, sebaiknya dua hingga tiga biji kurma dengan sapuan mentega nipis sudah mencukupi untuk menikmati rasanya tanpa berlebihan. Selain itu, lebih baik menikmatinya ketika sahur berbanding berbuka kerana juadah berbuka selalunya sudah mengandungi kalori yang mencukupi.
Kurma butter boleh menjadi pilihan makanan sunnah yang menarik selagi diambil dalam jumlah sederhana. Namun, kurma asli tanpa tambahan tetap lebih baik dari segi kesihatan dan sesuai diamalkan sepanjang Ramadan tanpa risiko kesan sampingan.