Gula sering dianggap sebagai musuh utama dalam masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung. Namun, banyak maklumat yang tersebar tentang gula sebenarnya tidak tepat dan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Salah satu mitos terbesar ialah gula menjadi punca utama kegemukan dan penyakit. Hakikatnya, masalah ini lebih berkaitan dengan pengambilan kalori secara berlebihan, bukan semata-mata kerana gula. Gula memang mudah dihadam, tetapi ia juga membawa kalori yang boleh menyumbang kepada pertambahan berat badan jika diambil dalam jumlah banyak tanpa kawalan.
Selain itu, ramai beranggapan pemanis semula jadi seperti madu atau stevia lebih baik berbanding gula biasa. Walaupun ia mengandungi nutrien tambahan, kesannya terhadap tubuh tetap sama. Kajian menunjukkan fruktosa dalam buah juga boleh merangsang selera makan dan membawa kepada makan berlebihan, yang akhirnya menyebabkan peningkatan berat badan. Menurut Dr. Robert Lustig, pakar obesiti dan hormon kanak-kanak dari Amerika Syarikat, beliau mengatakan bahawa kesan gula berlebihan hampir sama dengan pengambilan alkohol. Jika diambil secara berlebihan, ia boleh menjadi ketagihan yang kritikal.
Ada juga yang beranggapan bahawa mengurangkan gula sepenuhnya tidak baik kerana otak memerlukan gula untuk berfungsi. Ini benar dalam konteks sumber tenaga, tetapi badan sebenarnya boleh mendapatkan glukosa daripada karbohidrat kompleks yang lebih sihat seperti bijirin penuh dan sayur-sayuran. Label “tanpa gula” juga kadangkala mengelirukan kerana produk tersebut mungkin mengandungi pemanis tiruan yang tidak semestinya lebih baik.
Jus buah pula sering dianggap sebagai pilihan sihat dan tidak dikategorikan sebagai minuman manis. Hakikatnya, kandungan gulanya tetap tinggi, walaupun ia datang daripada sumber semula jadi. Walaupun jus mengandungi vitamin dan mineral, pengambilannya dalam jumlah besar masih boleh meningkatkan risiko kesihatan seperti diabetes jika tidak dikawal.
Gula bukanlah satu-satunya penyebab masalah kesihatan, tetapi cara ia diambil memainkan peranan penting.