April 21, 2025
“Padi pun ada tatakelola tersendiri,” petani mohon kerajaan basmi masalah sektor susulan penyelarasan harga lantai belian

“Padi pun ada tatakelola tersendiri,” petani mohon kerajaan basmi masalah sektor susulan penyelarasan harga lantai belian

Pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai penyelarasan Harga Lantai Belian Padi sebanyak RM200 iaitu daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik bermula 16 Februari nanti disambut gembira dan penuh kesyukuran oleh pelbagai pihak.

Dalam pengumuman yang dibuat di Dewan Rakyat pada 13 Februari lalu turut mengekalkan Harga Beras Putih Tempatan (BPT) pada kadar RM2.60 per kilogram.

Untuk mengekalkan harga ini, kaedah yang diambil adalah kerajaan memperuntuk sebanyak RM150 juta untuk menyerap sebahagian kos pengeluaran bagi 24 juta kampit BPT 10 kilogram selama tempoh 6 bulan.

Izuan, pemuda dari Kampung Jerlun, Kedah berkongsi kesyukuran apabila pentadbiran Kerajaan MADANI telah menaikkan Harga Lantai Belian Padi sebanyak 2 kali sejak iaitu pada 2023 dan yang terkini.

Mempunyai latar belakang keluarga daripada golongan pesawah, beliau berkata, penyelarasan ini telah meringankan beban golongan tersebut kerana peningkatan harga barang-barang berkaitan sehingga memberikan kesan kepada pendapatan mereka.

Namun begitu, beliau turut memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan penguatkuasaan ke atas golongan kartel kilang padi melalui polisi yang lebih ketat.

“Kerajaan juga boleh keluarkan garis panduan yang lengkap tentang proses padi iaitu dari pemilihan benih sehingga ke penjualan bagi memastikan ketirisan dapat dihapuskan. Padi pun kena ada tatakelola tersendiri,” ujarnya ketika dihubungi madanikini baru-baru ini.

Kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh Nur Misuari Murpi yang juga merupakan Pengerusi Komuniti Madani Anak Bukit Zon C.

Beliau berkata, penyelarasan itu membantu pihaknya untuk turun padang membantu golongan pesawah yang terbeban dengan pelbagai isu termasuklah masalah saliran tali air ke bendang.

“Harapan saya agar permohonan untuk mempercepat saliran air dilaksanakan supaya pesawah boleh tingkatkan lagi pengeluaran padi dan tambah pendapatan mereka,” katanya.

Untuk meningkatkan pengeluaran padi di kawasan MADA, kenyataan Mohamad Sabu menjelaskan bahawa projek Pemodenan Sistem Saliran Padi di Kawasan MADA akan membolehkan padi ditanam lima kali dalam tempoh dua tahun yang mana akan meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Senada dengan Izuan, Misuari juga berharap agar pengurusan padi dapat dibuat dengan lebih cekap bermula pemilihan benih padi yang disubsidikan perlu sesuai dengan kawasan penanaman.

“Di samping itu perlu ada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk hasilkan benih padi yangg lebih bagus, berat dan berkualiti tinggi.

“Kita juga minta supaya isu harga racun juga stabil dan seiring dengan harga lantai semasa supaya tidak beri tekanan kepada pesawah,” katanya.

Pada kenyataan, Mohamad Sabu turut menjelaskan, penyelarasan harga baharu itu boleh membantu pesawah dengan memperoleh sekurang-kurangnya RM2,000 melalui harga belian dan Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500.

Beliau turut menepis tohmahan kononnya penyelarasan ini dibuat kerana tekanan daripada pihak pesawah. Sebaliknya, beliau menegaskan, keputusan diambil selepas perbincangan bersama agensi kementerian seperti MADA, KADA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan sebagainya.

“Penyelarasan Harga Lantai Belian Padi ini sememangnya telah termasuk dalam Reformasi Industri Padi dan beras yang sedang digerakkan oleh KPKM sejak Oktober 2024,” katanya.

Seorang pengusaha padi kecil yang mahu dikenali sebagai Mohamad menganggap penyelarasan ini disambut penuh kesyukuran dan kelegaan selepas penat membanting tulang mengerjakan sektor tersebut.

“Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan, akhirnya kerajaan hari ini prihatin terhadap isu pak tani selama ini. Menunjukkan kerajaan hari ini mengambil berat terhadap kebajikan pak tani yang minoriti dalam negara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *