Kunjungan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia baru-baru ini masih menjadi perbincangan pelbagai pihak bukan sahaja berdasarkan keakraban pemimpin itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan memandangkan kedudukan negara itu yang menguasai pelbagai bidang-bidang baharu yang kritikal dan berimpak tinggi.
Sebanyak 11 Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dan dijangkakan perdagangan dua hala akan melonjak lebih tinggi.
Namun begitu, dalam bidang pendidikan kerajaan disarankan untuk meningkatkan lagi pertukaran pelajar bagi memastikan manfaat yang diterima adalah seimbang dan merangkumi pelbagai aspek.
Mohammad Ariff Ahmad Zainuddin dari Centre for the Advancement of Language Competence, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, hal ini dapat dicapai dengan berkesan jika wujud sebuah program biasiswa yang membiayai para pelajar kedua-dua negara.
“Program pemindahan kredit dan ijazah berkembar antara universiti kedua-dua negara boleh diperluas bagi meningkatkan integrasi akademi.
“Selain itu, latihan industri juga boleh menjadi salah satu bidang kerjasama yang bermanfaat, khususnya dalam sektor teknologi, pertahanan, dan kewangan Islam.
Tidak kurang pentingnya ialah usaha memperkasakan pembelajaran bahasa, seperti menyediakan lebih banyak kursus bahasa Turkiye di Malaysia dan sebaliknya, supaya pelajar dapat memahami budaya masing-masing dengan lebih mendalam,” ujarnya kepada madanikini ketika ditemui baru-baru ini.
Pertukaran pelajar juga, ujarnya, wajar dikukuhkan dengan mewujudkan kursus pembelajaran bahasa agar perkongsian dan persefahaman budaya menjadi lebih murni dan mendalam.
Beliau percaya, kedua-dua negara mempunyai banyak potensi untuk memperkukuhkan kerjasama, terutamanya dalam bidang teknologi dan pertahanan.
“Turkiye memiliki kepakaran dalam industri ketenteraan seperti dron dan sistem pertahanan, yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia untuk mempertingkatkan keupayaan ketenteraan negara.
“Begitu juga dengan sektor kewangan Islam, di mana Malaysia sudah lama dikenali sebagai peneraju global. Kerjasama dengan Turkiye dalam memperluaskan instrumen kewangan patuh syariah, seperti sukuk dan perbankan Islam, bukan sahaja dapat memperkukuhkan industri ini tetapi juga memberi manfaat kepada negara Islam lain,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan harapan agar Malaysia dan Turkiye terus bekerjasama rapat dan meluaskan perkongsian kepakaran untuk manfaat jangka masa panjang bersama.
Berkaitan: