April 21, 2025
“Manusia elemen paling lemah dalam dunia siber”, pakar IT ini dedah punca jenayah atas talian masih berleluasa

“Manusia elemen paling lemah dalam dunia siber”, pakar IT ini dedah punca jenayah atas talian masih berleluasa

Sempena Hari Keselamatan Internet 2025, kerajaan mengumumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian.

Kempen ini akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam seluruh negara dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap ancaman internet.

Menurut pengumuman, antara fokus utama kempen termasuk larangan terhadap kanak-kanak di bawah usia 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Selain itu, pendidikan penggunaan internet turut dititik-beratkan dengan meningkatkan kesedaran pengguna agar berwaspada dengan ancaman siber seperti buli siber, penipuan (scamming) dan jenayah pedofilia.

Laporan menunjukkan, pada 2024, kes jenayah dalam talian telah meningkat dengan kes sebanyak 36,368 dan melibatkan kerugian lebih RM1.5 bilion.

Untuk memastikan keselamatan internet lebih terjamin, kerajaan turut menguatkuasakan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diwartakan pada 7 Februari lalu.

Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dianggap perlu untuk melindungi pengguna daripada terjerumus dengan pelbagai ancaman dan risiko siber.

Namun begitu, menurut ketua pegawai eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr Amirudin Abdul Wahab, penguatkuasaan mesti diselaraskan bersama penyebaran kesedaran melalui pendidikan yang meluas kerana risiko siber sentiasa muncul dalam bentuk baharu dan pelbagai.

“Dalam konteks siber, kita dianggap sebagai elemen yang paling lemah (weakest link) dalam rantaian perbekalan dalam aspek keselamatan siber.

“Jadi kita akan terus menerus memberi ilmu asas, tips bagaimana melindungi diri kita, selain acara-acara penganjuran majlis berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Radio Karat: Edisi Khas Sempena Hari Keselamatan Internet (SID) 2025.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak program perlindungan telah disediakan anti-virus dan firewall dan sebagainya tetapi sia-sia jika pengguna masih cuai ketika menggunakan internet.

“Kita lihat di sini, elemen manusia itu sangat penting. Sebab itu kita terus menekankan aspek pendidikan dan kesedaran khususnya sebagai pengguna.

“Hal ini kerana pengguna tidak perlu tahu aspek teknikal sangat. Apa yang mereka mahu tahu bagaimana nak guna secara selamat sahaja,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *