Khutbah di Wilayah Persekutan tempoh hari mengingatkan kita konsep persaudaraan ummah dalam Islam serta tanggungjawab umat Islam terhadap saudara mereka. Menurut pendakwah bebas dan pengkaji Ustaz Marwan Bukhari, tidak timbul isu perlu untuk melengkapkan keperluan diri dahulu sebelum membantu orang lain jika sumber diuruskan dengan bijaksana.
“Tidak timbul isu perlu fokus kepada rakyat dan negara sendiri dahulu kerana idea membangunkan Gaza tidak mengganggu komitmen kerajaan kepada negara sendiri. Menurut PMX, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid. Jika dibandingkan dengan peruntukan yang dikeluarkan untuk pendidikan, kesihatan, keagamaan dan lain-lain di Malaysia, nisbahnya amat kecil.”
Ujarnya lagi penting untuk umat manusia berkongsi sekelumit kelebihan yang kita ada kepada masyarakat Gaza yang baru melepasi fasa getir genosid.
Ini berdasarkan strategi yang diambil dengan menggembeleng tenaga pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, korporat dan seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan Malaysia juga dilaporkan akan bekerjasama dengan Kerajaan Jepun untuk melaksanakan usaha ini. Ini bakal menyokong usaha Malaysia tanpa mengganggu perbelanjaan kerajaan untuk kepentingan rakyat dan negara.
Khutbah yang disediakan JAKIM tersebut turut memetik Surah al-Maidah ayat 2, yang menyeru umat Islam untuk tolong menolong kea rah kebajikan. Rasulullah SAW turut berpesan yang mana hubungan sesama Muslim seperti satu jasad, di mana kesakitan satu bahagian akan dirasai oleh seluruh tubuh. Oleh itu, umat Islam harus prihatin dan saling membantu antara satu sama lain.
Gaza telah mengalami kemusnahan besar akibat peperangan sejak 7 Oktober 2023, mengorbankan 46,000 nyawa. Gencatan senjata pada 19 Januari 2025 memberi sedikit kelegaan, namun kesan kehancuran masih sangat parah. Menurut laporan PBB pada 28 Januari 2025, 69% infrastruktur di Gaza telah musnah, termasuk 496 sekolah, 51 universiti, dan 18 hospital yang hanya berfungsi sebahagian. Sebanyak 815 masjid hancur sepenuhnya, manakala 151 lagi rosak teruk.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia telah mengumumkan untuk membina sebuah sekolah, sebuah hospital dan sebuah masjid bagi membantu proses pemulihan di wilayah yang telah diserang rejim Israel itu.