Tindakan segelintir pihak yang melakukan perbuatan berunsur Qazaf secara berleluasa dibimbangi akan menyebabkan lebih ramai orang Islam terjebak dengan jenayah hukum Islam itu tanpa sedar.
Antara tindakan yang melibatkan perbuatan berunsur Qazaf adalah tuduhan terhadap seseorang melakukan perbuatan liwat tanpa membawa bukti yang mencukupi dari segi hukum syarak.
Ahli akademi, Dr Zulkifli Hasan yang kini merupakan Timbalan Menteri Agama, berkata, majoriti ahli fekah bersetuju bahawa tuduhan liwat termasuk kesalahan Qazaf dan boleh dikenakan hudud.
“Pandangan ini selaras dengan mazhab Shafie yang menafsirkan Qazaf sebagai tuduhan liwat adalah sama dengan tuduhan zina,” ujarnya.
Beliau menjelaskan demikian dalam kertas kerjanya berjudul “Tuduhan Liwat dan Qazaf Menurut Perspektif Undang-undang“.
Apa yang dibimbangi, ujarnya, jika Qazaf tidak dibendung akan menyebabkan kesan buruk meliputi aspek kesaksian, keruntuhan moral serta berisiko merosakkan keharmonian institusi keluarga dan masyarakat.
Menurut bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, pelaku Qazaf boleh dianggap fasik yang ditolak kesaksian.
Tahun lalu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi dikecam kerana dianggap melakukan qazaf dengan melontarkan tuduhan liwat tanpa saksi semasa Muktamar Tahunan.
Perbuatan yang tertakluk di bawah jenayah hudud itu mendapat respon daripada Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Seri Dr Khairuddin Aman Razali, yang menegaskan Afnan wajib bertaubat kerana kesalahan tersebut.
Afnan merupakan anak bekas imam Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib.
Selain Afnan, Khairuddin turut memberi nasihat sama terhadap ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin yang melakukan perbuatan dianggap Qazaf dalam Dewan Rakyat pada September 2023.
Mengulas lanjut berhubung tanggapan bahawa tuduhan liwat tidak boleh dianggap Qazaf kerana telah disabitkan kesalahan di mahkamah sivil, Dr Zulkifli menafikan perkara tersebut.
“Wujudnya tanggapan bahawa sesiapa tidak boleh dianggap melakukan Qazaf atau terlepas daripada kesalahan Qazaf apabila membuat tuduhan liwat terhadap seseorang yang telah disabitkan kesalahan seks luar tabii di Mahkamah Sivil. Ini merupakan suatu tanggapan salah yang perlu diberikan perhatian.
“Umumnya, sabitan kesalahan di Mahkamah Sivil seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan tidak bermakna seseorang itu berhak atau boleh membuat tuduhan liwat.
“Malahan sebarang pertuduhan terhadap sebarang kesalahan seumpama ini hanya boleh dibuat dihadapan hakim di Mahkamah Syariah,” katanya.