April 21, 2025
Akibat sindir hantaran lama PM, ahli Parlimen Pas dikecam tak faham bahasa Inggeris dan diplomasi antara negara

Akibat sindir hantaran lama PM, ahli Parlimen Pas dikecam tak faham bahasa Inggeris dan diplomasi antara negara

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendapat kecaman besar selepas mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat bulan lalu iaitu pada 16 Januari berhubung penghargaan kepada Presiden yang dipilih ketika itu, Donald Trump yang berperanan membawa rundingan supaya gencatan senjata dicapai di Gaza.

Dalam ulasannya di Facebook pada 6 Februari, Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas mempersoal pujian Anwar kepada Trump yang selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari lalu.

Beliau turut menyindir Anwar kerana tidak melantik Trump sebagai Penasihat Pengerusi ASEAN seperti Thaksin Shinawatra, bekas perdana menteri Thailand.

“Ya benar, Amerika bukan sebahagian Asean, tetapi sepertimana pelantikan penasihat Pengerusi ASEAN pun tak pernah dibuat orang,” ujarnya.

Sindiran itu mendapat reaksi yang rata-ratanya mempersoal kemampuan Fadhli memahami bahasa Inggeris serta konteks isu semasa dan hubungan diplomasi.

Untuk rekod, Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada Trump melalui Facebooknya pada 6 November tahun lalu di samping meletakkan harapan agar hartawan itu menunaikan janji dalam kempen untuk meletakkan keutamaan kepada agenda berorientasikan keamanan.

Malah, berdasarkan kicauannya pada 4 November 2020, Fadhli turut meletakkan harapan agar Trump menang dalam pilihan raya Presiden pertama yang disertainya.

Berdasarkan konteks hantaran Anwar pada Januari, selain kepada Trump, Anwar turut mengiktiraf usaha Mesir dan Qatar yang terlibat memastikan gencatan senjata dapat dicapai.

Dalam perkembangan terkini, Trump mengumumkan hasrat Amerika Syarikat untuk mengambil-alih Gaza dan mengusir penduduk ke negara jiran; satu langkah yang disifatkan pelbagai pihak sebagai ‘pembersihan etnik’ apabila difahamkan tentera akan dikerahkan untuk memastikan proses pengusiran berjalan lancar.

Arab Saudi, Jordan antara negara terawal yang menolak rancangan gila tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *