Tak sempat pihak tertentu tunggang tajuk kenaikan kadar tarif elektrik untuk kepentingan politik, Perdana Menteri terus ‘pancung’ dalam Dewan Rakyat.
Semua ini gara-gara ahli Parlimen Machang yang bangun bertanya tentang kenaikan kadar elektrik 14% walaupun ketika itu Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang menjawab tentang perang perdagangan akibat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
“Saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik hanya untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai,” katanya.
ICPT atau Pelepasan Kos Tidak Berimbang (Imbalance Cost Pass-Through) merupakan mekanisme untuk menyemak peningkatan atau penurunan kos bahan api dan penjanaan untuk dilepaskan kepada pelanggan dalam tempoh setiap enam bulan. Tujuannya adalah untuk pelarasan dalam bentuk rebat atau surcaj.
Seorang usahawan PMKS dari Wilayah Persekutuan, Encik Taufiq Iskandar berpendapat penyelarasan tarif ini tidak akan membebankan majoriti rakyat Malaysia seperti yang diterangkan oleh PM Anwar. Katanya lagi, “Harga barangan keperluan asas akan terus dipantau melalui mekanisme kawalan harga, namun pengawasan dan penguatkuasaan perlu diperketatkan kerajaan,”.
Sementara itu, Abdullah Zawawi Wahab dari Kelantan menyifatkan langkah penyelarasan subsidi wajar walaupun mengambil langkah yang berhati-hati. “Kita tidak boleh terus menyediakan subsidi kepada 15% terkaya di negara ini, sebaliknya wang tersebut perlu disalurkan untuk menaikkan taraf hidup rakyat termiskin,’ ujarnya lagi.
Anwar yang juga menteri kewangan turut menasihatkan agar ucapannya yang disalah lapor sebelum ini didengar dengan teliti tanpa perasaan prejudis.
Sebelum ini, di hadapan kumpulan pemain industri besar sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur, Anwar menegaskan tarif elektrik untuk industri akan dinaikkan tetapi tidak setinggi 14.2 peratus.
Beliau memberi jaminan bahawa kenaikan itu tidak akan menyusah dan merugikan komuniti perniagaan malah 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan.