Selepas menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang bermula pada 1 Februari lalu, beberapa hari kemudian Dato’ Seri Anwar Ibrahim umumkan pula satu lagi cadangan yang baik kepada pekerja asing.
Tenang dulu. Jangan gelabah bila sebut pekerja asing. Mereka bekerja di Malaysia dan mereka juga ada hak yang perlu dilindungi.
Cadangan kerajaan itu pula bukan sahaja bermanfaat kepada kira-kira 2 juta pekerja asing tetapi juga kepada prestasi negara.
Jadi, apa cadangan itu?
Kalau ada yang masih ingat, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan tekad untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja termasuk pekerja asing.
Komitmen itu dibuat bagi mematuhi dan sesuai dengan piawaian antarabangsa seperti ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Maka, selaras dengan hasrat itu, Anwar mengumumkan cadangan untuk melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% secara mandatori ke atas pekerja asing.
Kalau sebut mandatori, maknanya majikan wajib laksanakan berbanding sebelum ini sebagai pilihan sahaja.
Kadar caruman itu ditetapkan jauh lebih rendah berbanding cadangan awal iaitu sebanyak 12%. Langkah itu pula dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan akan dilaksanakan secara berfasa.
Cadangan itu telah mendapat reaksi positif kumpulan peniaga dan majikan.
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menganggap kadar dikenakan itu sebagai wajar tetapi berharap proses semakan semula boleh dibuat pada semasa ke semasa.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut berkongsi kelegaan kerana kadar itu munasabah terutama kepada sektor perusahaan mikro kecil dan sederana (PMKS) yang bergelut masalah aliran tunai.
Langkah ini bukanlah amalan yang janggal kerana banyak negara maju dan membangun telah melaksanakannya.
- India (11 peratus)
- Thailand (5 peratus)
- Australia (12 peratus)
- Jerman (9 peratus)
- Perancis (18 peratus)
Selain itu, langkah ini juga boleh menjadi mekanisme kepada negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan mengelak amalan eksploitasi buruh.
Berdasarkan mekanisme baharu ini, pekerja asing hanya boleh mengeluarkan caruman KWSP mereka selepas visa mereka tamat.
Maknanya, bukan sahaja hak mereka sebagai pekerja terjamin tetapi kerajaan juga boleh memantau keluar masuk tenaga kerja asing secara lebih sistematik.
Di pihak pekerja asing pula, dengan dana simpanan KWSP ini, mereka ada insentif untuk kembali ke negara asal mereka selepas tamat kontrak, sekaligus mengurangkan risiko pekerja tinggal lebih lama secara tidak sah.
Ini juga akan menjadikan rekod jumlah tenaga kerja asing yang lebih jelas dan membantu dalam perancangan dasar berkaitan pengurusan pekerja asing secara lebih berkesan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pula berkata, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan caruman ini akan dibawa dan diperincikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan satu rang undang-undang bagi meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 pada sidang Dewan Rakyat kali ini.