Siapa tak kenal Ibnu Sina, tokoh perubatan besar kebanggan Islam.
Tapi cuba bayangkan jika beliau menolak untuk membaca karya Hippocrates hanya kerana ia mengandungi sumpah kepada dewa Apollo dan Asclepius yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.
Kita beruntung kerana Ibnu Sina faham yang beliau boleh menolak unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam boleh diasingkan tanpa menolak manfaat ilmu yang terkandung dalam karya tersebut.
Sikap keterbukaan ini adalah asas kepada pencapaian besar umat Islam dalam Zaman Kegemilangan Islam.
Pada abad ke-8 dan ke-9, Khalifah al-Mansur dan al-Ma’mun dari Dinasti Abbasiyah mendirikan Bayt al-Hikmah di Baghdad, sebuah pusat kecemerlangan ilmu yang berfungsi sebagai perpustakaan dan institusi penterjemahan.
Di sini, teks-teks Greek karya Aristotle, Plato, Hippocrates, dan Galen dan karya-karya dari tamadun Parsi dan India, seperti Charaka Samhita dan Aryabhatiya diterjemahkan. Para sarjana Islam tidak hanya menterjemah, tetapi juga memberikan komentar dan kritik, karya-karya ini.
Keterbukaan terhadap ilmu dari luar ini melahirkan tokoh-tokoh besar seperti Al-Khwarizmi dalam matematik, Al-Razi dalam kimia, dan Al-Farabi dalam falsafah. Jasa mereka menghasilkan inovasi yang menjadi asas kepada perkembangan ilmu pengetahuan global.
Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa hikmah adalah “barang tercicir” milik orang beriman; di mana saja ia ditemukan, ia harus diambil dan dimanfaatkan. Dalam isu Hannah Yeoh, ia bukanlah penentangan yang jujur atas disiplin ilmu, sebaliknya disaluti dengan Islam hanya untuk mencapai matlamat mereka yang gila kuasa.
Ibnu Sina dan generasi sarjana Islam terdahulu menjadi bukti betapa keterbukaan kepada ilmu mampu membawa umat Islam ke puncak kejayaan.