Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 lahir daripada realiti yang dihadapi oleh masyarakat ini yang semakin meruncing. Dunia digital hari ini bergerak lebih pantas daripada undang-undang. Kanak-kanak terdedah kepada buli siber, pemangsaan seksual, judi dalam talian, kandungan ekstrem dan manipulasi algoritma tanpa sempadan yang benar-benar kukuh. Undang-undang sedia ada terlalu umum dan tidak mempunyai mekanisme teknikal yang boleh memaksa platform patuh. Justeru pengenalan sepuluh peraturan subsidiari di bawah akta ini menjadi fasa paling kritikal kerana di sinilah kedaulatan digital negara bermula.
Akta induk hanya memberi rangka, tetapi peraturan subsidiari inilah yang menentukan bagaimana kawalan itu dijalankan di lapangan. Tanpa peraturan ini, undang-undang akan kekal sebagai dokumen yang kaku namun dengan adanya sepuluh subsidiari ini, tanggungjawab platform, peranan ibu bapa, hak pengguna, mekanisme aduan dan kuasa kerajaan kini mempunyai garis yang jelas. Ia menandakan peralihan daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan pencegahan dalam mengurus ancaman digital.
Sepuluh peraturan subsidiari yang dibangunkan meliputi bidang yang paling kritikal dalam keselamatan digital. Antaranya ialah pengesahan umur pengguna supaya kanak-kanak tidak lagi boleh menyamar sebagai orang dewasa untuk memasuki kawasan yang berisiko. Klasifikasi kandungan mengikut umur diwajibkan supaya setiap bentuk kandungan ditentukan tahap kesesuaiannya. Kawalan ibu bapa diwajibkan malah platform juga diwajibkan menyediakan pelan keselamatan dalam talian yang menunjukkan langkah sebenar yang mereka ambil untuk melindungi pengguna.
Selain itu, kod tatalaku untuk penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet diwujudkan bagi menetapkan etika operasi yang tidak boleh dilanggar. Pelesenan penyedia perkhidmatan pula memastikan hanya syarikat yang mematuhi syarat keselamatan sahaja dibenarkan beroperasi. Tindakan segera terhadap kandungan berbahaya diperkenalkan bagi memastikan tiada lagi kelewatan memadam kandungan berunsur jenayah. Data kanak-kanak diberikan perlindungan khusus, termasuk larangan penggunaan data mereka untuk tujuan komersial yang berisiko.
Tatacara aduan dan siasatan turut distrukturkan semula supaya pengguna tidak lagi terperangkap dalam prosedur yang kabur dan lambat. Aduan wajib disiasat mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan keputusan mesti dimaklumkan kepada pengadu. Di peringkat akhir, peraturan penalti dan sekatan operasi menjadi senjata paling tegas kerana ia membolehkan denda yang tinggi, penggantungan lesen dan juga sekatan operasi terhadap platform yang gagal mematuhi keperluan keselamatan.
Dunia digital kini bukan lagi ruang hiburan semata-mata, tetapi ruang sosial utama bagi kanak-kanak dan remaja. Di situlah mereka membina identiti, mencari pengaruh dan membentuk pemikiran. Tanpa kawalan yang jelas, ruang ini menjadi medan pemburuan pemangsa siber, sindiket penipuan, penyebar ideologi ekstrem dan pedagang data gelap.
Menurut Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar berkata akta itu digubal bagi memastikan ruang digital lebih selamat berikutan penipuan dalam talian yang semakin rumit, termasuk penyalahgunaan deepfake dan kecerdasan buatan (Al).
“la bukanlah menyasarkan kepada perbualan peribadi ataupun pandangan individu, sebaliknya fokus akta ini ialah tindakan atau tingkah laku berbahaya bukannya kebebasan bersuara”, ujarnya lagi.
Akhirnya, sepuluh subsidiari ini membawa satu mesej tegas bahawa keselamatan dalam talian tidak lagi bergantung kepada budi bicara syarikat teknologi semata-mata. Ia kini berada di bawah kerangka undang-undang yang boleh dikuatkuasakan. Malaysia tidak menutup pintu kepada teknologi, tetapi juga tidak lagi membenarkan teknologi bergerak tanpa kawalan. Ini ialah usaha mengimbangi kebebasan digital dengan keselamatan rakyat, khususnya generasi paling rapuh dalam ekosistem digital negara.